Penyokong Perancis kecewa, marah
June 22, 2010 by admin
PARA peminat pasukan Perancis - daripada presiden negara itu kepada barisan bekas pemain handalannya - seakan mula bangkit daripada lamunan mengenai peluang mereka dalam saingan Piala Dunia 2010.
Ia berpunca daripada rasa kecewa apabila kempen Piala Dunia skuad Les Blues di Afrika Selatan tergugat oleh pemulauan para pemain ke atas sesi latihan pada hujung minggu lalu.
Presiden Nicolas Sarkozy meminta menteri sukannya, Roselyne Bachelot, yang berada di Johannesburg, agar melanjutkan tempoh lawatannya beberapa hari lagi.
Beliau diarah bertemu dan mengadakan perbincangan dengan kapten, jurulatih dan Ketua Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) agar menenangkan keadaan menjelang perlawanan genting Kumpulan A menentang Afrika Selatan hari ini.
Pemain Perancis memulaukan latihan menyusuli keputusan jurulatih Raymond Domenech mengarahkan penyerang Nicolas Anelka pulang ke Paris.
Anelka diarah meninggalkan khemah pasukan selepas beliau dikatakan mengeluarkan kata- kata kesat ke arah Domenech selepas Perancis kalah mengejut di tangan Mexico Khamis lalu.
Pemulauan pada Ahad lalu turut mencetuskan pertengkaran antara kapten Patrice Evra dengan jurulatih fizikal selain peletakan jawatan pengarah pasukan dan pengarah urusan FFF, Jean-Louis Valentin.
Bachelot berkata Presiden Sarkozy meminta beliau menemui Evra, Domenech dan Ketua FFF, Jean-Pierre Escalettes, semalam.
“Presiden, sama seperti saya, turut mengambil perhatian atas kemarahan rakyat Perancis dan meminta agar pemain meningkatkan maruah dan tanggungjawab masing-masing,” kata Bachelot kepada televisyen TFI.
Menteri Ekonomi, Christine Lagarde, bekas anggota pasukan renang berirama, turut mengutuk pemulauan yang berpunca daripada rasa simpati ke atas Anelka.
“Saya amat terkejut. Terkejut kerana saya pernah menyarung jersi nasional Perancis. Sebagaimana yang anda semua tahu, sebaik sahaja anda menyarung jersi nasional, anda memikul satu lagi tanggungjawab.
“Tanggungjawab pertama ialah menampilkan yang terbaik dalam sukan. Ini kerana anda menjadi warga contoh kerana setiap gerak geri anda diperhatikan ramai.
“Terdapat ramai kanak- kanak dan peminat remaja yang menceburkan diri dalam sukan dan mereka memerhatikan anda sebagai contoh untuk diikuti,” jelas beliau.
Bekas pemain nasional, Emmanuel Petit, yang menyumbangkan gol ketika Perancis mengalahkan Brazil dalam Piala Dunia 1998, turut menyelar tindakan memulaukan latihan.
“Ia tidak dapat diterima. Ia sesuatu yang tidak profesional. Ia sesuatu yang mengecewa, memalu dan menyedihkan,” kata Alain Giresse, seorang lagi bekas pemain antarabangsa Perancis.
Bixente Lizarazu, seorang anggota pasukan juara Piala Dunia 1998 dan bermain dalam 2002, menambah: “Tidak ada seorang pun yang memiliki rasa bangga, semuanya ingin meluahkan kemarahan… Ini menunjukkan tidak seorang pun mempunyai kuasa ke atas pasukan Perancis dan ini suatu yang serius.”
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!