Penamat menyedihkan buat Perancis

June 23, 2010 by  

PERANCIS berdepan penamat paling menyedihkan pada Piala Dunia 2010 apabila tersingkir seawal pusingan pertama selepas tunduk 1-2 kepada tuan rumah, Afrika Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, malam tadi.

Biarpun sedih dengan penyingkiran pasukannya, jurulatih, Raymond Domenech tetap memuji persembahan anak buahnya yang disifatkan sebagai pejuang sebenar.

“Mereka bermain sepenuh hati seperti pejuang sebenar. Keikhlasan dan semangat juang tinggi jelas terpampang pada pemain kami.

“Saya cukup sedih terhadap apa yang berlaku dalam bola sepak Perancis,” katanya yang terlibat dalam pertelingkahan kecil dengan jurulatih lawan, Carlos Alberto Parreira sebaik tamat perlawanan.

Ketiadaan tiga tonggak, Nicolas Anelka, Patrice Evra dan Florent Malouda dalam kesebelasan utama nyata membawa kesan besar terhadap Perancis apabila dilihat gagal mengawal permainan sebaik perlawanan bermula.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak membawa sebarang erti kepada Afrika Selatan kerana tetap gagal mara ke pusingan kedua apabila sekadar berada di kedudukan ketiga kumpulan A kerana tewas dari aspek perbezaan jaringan meskipun berkongsi empat mata dengan Mexico yang mengiringi Uruguay selaku juara kumpulan.

Kepincangan Perancis bagi mengharungi perlawanan itu jelas terpampang apabila Bongani Khumalo membuka jaringan untuk Afrika Selatan pada minit ke-19 menerusi tandukan cantik hasil sepakan sudut rakan sepasukan.

Malang Perancis bertimpa apabila tonggak tengah menyerang, Yoann Gourcuff dilayangkan kad merah pada minit ke-25 oleh pengadil Colombia, Oscar Ruiz kerana didakwa menyiku pemain tengah Afrika Selatan, MacBeth Sibaya ketika merebut bola di udara.

Menyedari kelebihan yang ada, Afrika Selatan terus mengasak dan hasilnya mereka berjaya menyumbat gol kedua pada minit ke-36 menerusi penyerang, Katlego Mphela hasil keadaan kelam-kabut di hadapan gawang lawan.

Seminit kemudian, sorakan penyokong tuan rumah yang memenuhi Stadium Free State bergema lagi apabila Mphela melakukan voli dari jarak dekat yang menerjah gawang lawan. Jaringan itu bagaimanapun dibatalkan kerana Mphela dikesan berada dalam posisi ofsaid.

Sedar akan rentak sumbang yang dipamer pasukannya,Domenech memasukkan bintang Barcelona, Thierry Henry bagi menggantikan Djibril Cisse dan Malouda menggantikan Andre-Pierre Gignac bagi menambah sengat di bahagian serangan.

Namun, Afrika Selatan terus mengganas apabila lima minit selepas rehat, Mphela melepasi perangkap ofsaid untuk menyambut bola hantaran pemain tengah, Siphiwe Tshabalala. Sepakan lencongnya bagaimanapun sekadar singgah di tiang gol.

Kegarangan Mphela seakan tidak dapat dibendung apabila dia sekali lagi menguji benteng Perancis dengan melepaskan rembatan deras dari jarak 25 meter. Lloris bagaimanapun berada di kedudukan tepat untuk menolak bola keluar.

Di tengah kerancakan Bafana-Bafana menyerang, Malouda membuktikan betapa dia cukup berharga untuk Perancis apabila berada di kedudukan sepatutnya untuk menolak bola hantaran Franck Ribery ke gawang pada minit ke-68.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!