Kem Perancis ‘panas’
June 11, 2010 by admin
PERSIAPAN Perancis dalam kempen Piala Dunia kali ini terencat seketika apabila skuad itu telah berpecah kepada dua selepas masing-masing mempertikaikan sama ada perlukah Thierry Henry beraksi dalam skuad utama menentang Uruguay pada aksi pembukaan Kumpulan A awal pagi esok.
Pemain senior Perancis yang diketuai Nicolas Anelka dan Franck Ribery, memberi tekanan ke atas jurulatih, Raymond Domenech supaya menurunkan Henry dan bukannya Sidney Govou dalam skuad utama.
Pemain tersebut berkeras mahu Henry diturunkan dalam aksi pertama itu di Cape Town dengan alasan pengalaman serta kehadiran bekas penyerang Arsenal itu amat diperlukan dalam skuad utama Perancis.
Meskipun Henry masih lagi penjaring terbanyak Perancis, penyerang berusia 32 tahun itu bagaimanapun jarang diturunkan di Barcelona musim lepas dan bukan lagi pilihan automatik bagi pasukan kebangsaannya.
Situasi bergolak ini timbul selepas Anelka dilihat enggan menghantar bola kepada Gourcuff dalam aksi persahabatan dengan Costa Rica baru-baru ini manakala Ribery pula merampas bola daripada perancang muda Bordeaux itu ketika dia mahu mengambil sepakan percuma.
Perancang Perancis, Jeremy Toulalan mengakui bahawa suasana dalam skuad agak panas ketika ini, namun menegaskan, ia tidak bermakna anak-anak buah Domenech itu tidak mampu bekerjasama di atas padang.
“Pada suatu masa, hubungan di antara beberapa pemain akan menjadi lebih kuat daripada yang lain,” kata perancang Lyon itu.
“Tetapi di atas padang, kamu tidak perlu menjadi kawan yang paling baik di dunia untuk bekerjasama dengan pemain lain.”
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!