Prebiu: Paraguay vs New Zealand

June 24, 2010 by  

PARAGUAY turun dalam perlawanan terakhir Kumpulan F hari ini dengan satu matlamat, mengalahkan New Zealand untuk muncul juara kumpulan.

Selepas mengikat juara dunia, Itali 1-1 dan membenam Slovakia 2-0 dalam saingan kedua, skuad Amerika Selatan itu kini menjadi peneraju kumpulan.

Kemenangan ke atas New Zealand, yang seri dalam kedua-dua perlawanan pertama mereka akan meletakkan Paraguay sebagai juara, sekali gus mengelak daripada menentang negara besar di pusingan kedua.

Misi besar Paraguay untuk mencari sebanyak mungkin gol pada perlawanan hari ini diletakkan kepada rangkaian tiga penyerang, diketuai bintang Manchester City, Roque Santa Cruz, Nelson Valdez dan Lucas Barrios.

“Sekarang ini, ia bukan saja soal melayakkan diri, tetapi kami mahu menjadi yang pertama, kami mahu juarai Kumpulan F.

“Bukan mahu bercakap besar, tetapi kami mempunyai peluang yang realistik sekarang. Menang perlawanan terakhir dan kami akan menjadi juara,’’ kata Santa Cruz.

Paraguay tidak pernah melayakkan diri ke suku akhir dalam sejarah Piala Dunia, justeru ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk merubah sejarah andai beroleh laluan yang lebih baik.

Juara Kumpulan F akan bertemu naib juara Kumpulan E, manakala naib juara kumpulan pula berdepan juara Kumpulan E. Ketika ini Belanda menerajui kumpulan tersebut, manakala Jepun di tangga kedua.

“Sekarang ini, anda kena fikir sebarang kemungkinan. Kami tahu, sekali kami berjaya melayakkan diri, kami berpotensi menentang Belanda andai tidak menamatkan kempen selaku juara kumpulan.

“Perkara utama adalah layak, kedua fikirkan bagaimana kami harus beroleh laluan yang lebih baik untuk mencatat sejarah baru,’’ ujarnya lagi.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!