Uruguay, Mexico ke pusingan kedua

June 23, 2010 by  

URUGUAY melayakkan diri ke pusingan kedua selaku juara Kumpulan A selepas menundukkan Mexico 1-0 di Stadium Royal Bafokeng, malam tadi.

Gol tunggal penyerang Ajax, Luis Suarez pada minit ke-43 sudah cukup mengekalkan rekod bersih skuad itu sepanjang Piala Dunia 2010.

Walaupun tewas, Mexico mengikuti jejak Uruguay melangkah ke pusingan seterusnya berbekalkan kelebihan jaringan, sekalipun memungut empat mata bersama Afrika Selatan.

Namun, Mexico dijangka berdepan kesukaran untuk melepasi peringkat suku akhir kerana akan berdepan gergasi dunia dan pasukan pilihan Piala Dunia, Argentina. [LIHAT JADUAL PENUH PUSINGAN KEDUA]

Dalam perlawanan itu, jurulatih, Javier Aguirre memilih formasi serangan yang baru-baru ini berjaya menewaskan Perancis, 2-0. Penyerang veteran, Cuauhtemoc Blanco dimasukkan menggantikan Carlos Vela untuk mengekalkan formasi 4-3-3.

Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez pula hanya melakukan satu penukaran dengan skuad yang menewaskan Afrika Selatan 3-0 apabila memasukkan pemain pertahanan, Mauricio Vitorino untuk menggantikan Diego Godin.

Uruguay sudah memberikan amaran awal melalui percubaan pada minit ke-6 melalui percubaan jarak jauh Suarez namun melepasi palang gol.

Mexico berpeluang mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-22, tetapi Andres Guardado gagal menemui sasaran yang diharapkan apabila rembatan dari jarak 30 meter tersasar.

Akhirnya, Uruguay berjaya memecahkan kebuntuan dua minit sebelum rehat separuh masa pertama melalui gerakan Edson Cavani.

Cavani yang berlari secara solo dari sebelah kanan berjaya melakukan hantaran silang sebelum disambut baik oleh Suarez yang mudah menanduk masuk ke dalam gawang Mexico.

Walaupun Mexico menggandakan serangan pada separuh masa kedua dengan memasukkan Javier Hernandez, pertahanan Uruguay kebal menahan asakan untuk memastikan tiga mata milik mereka.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!