Prebiu: Portugal vs Korea Utara
June 21, 2010 by admin
PORTUGAL perlu bertukar kepada corak serangan menentang Korea Utara, hari ini jika mahu kemenangan besar bagi membuka pintu ke pusingan kedua Piala Dunia.
Setelah seri dalam pembukaan menentang Ivory Coast dan menanti kehadiran Brazil, tempat kedua dalam Kumpulan G itu mungkin ditentukan menerusi perbezaan gol selepas ini.
Namun, perjuangan Korea Utara dengan persembahan tersusun ketika kalah 1-2 kepada juara lima kali, Brazil hanya menjadikan pasukan separuh akhir 2006 itu lebih bertumpu kepada mencari cara untuk menjaringkan gol.
“Portugal mengambil lebih sedikit risiko dalam perlawanan pertama kerana secara semula jadinya, mereka bermain dengan fokus melihat halangan di depan.
“Pada perlawanan kedua, segalanya akan lebih jelas kerana tiada ruang untuk menunggu. Kami perlu mula menjadikannya berlaku dan tidak menunggu ia berlaku. Kami perlu mempertaruhkan sesuatu dan menyerang,” kata pengurus Portugal, Carlos Queiroz.
Peminat Portugal dan ramai penonton mengharapkan satu pendekatan yang lebih menyerang untuk menyaksikan Cristiano Ronaldo menyerlah.
Pemain termahal dunia itu tidak menjaringkan satu gol perlawanan sebenar antarabangsa bagi hampir dua tahun walaupun hampir melakukannya ke atas Ivory Coast apabila dia merembat jarak jauh yang terkena tiang.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Portugal terhadap kad kuning yang diterimanya dalam perlawanan pertama jadi dia perlu terus bertenang dalam apa yang mungkin menjadi perhatian rapi 90 minit untuk mengelak satu lagi kad dan satu penggantungan yang menyekatnya daripada menentang Brazil.
Queiroz mungkin memanggil semula Simao Sabrosa selepas pemain sayap Danny gagal menampilkan semula semangatnya seperti persahabatan baru-baru ini.
Bagaimanapun, ada kebimbangan bahawa Deco mungkin tidak cergas untuk bermula selepas tercedera pinggul ketika latihan.
Ia menjadi satu minggu yang bermakna buat pemain tengah itu yang digantikan oleh Tiago selepas 62 minit perlawanan pembukaan, kerana mengecam pengurus sebelum memohon maaf.
Korea Utara beroleh pujian meluas kerana etika kerja mereka, disiplin dan kemampuan teknikal menentang Brazil dan pemain tengah Portugal, Raul Meireles berkata, dia menjangkakan lebih daripada itu.
“Saya fikir mereka mungkin bermain seperti yang dilakukan menentang Brazil dengan ramai pemain di belakang bola dan kami perlu bersedia dan berusaha untuk memecahkan tembok pertahanan itu,” katanya.
Bagi Korea Utara, harapan untuk menentang Portugal pasti membawakan perbincangan mengenai Piala Dunia 1966.
Diletak bukan pilihan, pasukan Asia itu mengejutkan Itali dalam fasa kumpulan dan mendahului 3-0 ke atas pasukan berbakat Portugal yang memiliki Eusebio dalam suku akhir.
Portugal bangkit semula untuk menang 5-3, sehingga minggu lalu itulah Piala Dunia terakhir yang menyaksikan Korea Utara.
Sebenarnya, selain 90 minit mereka di Ellis Park, tidak banyak lagi yang disaksikan daripada mereka sejak kembali.
Menyepi dan berahsia, cukup sedikit yang diketahui bagaimana langkah susulan pasukan atau pengurusan kepada satu prestasi yang menggalakkan dalam perlawanan pembukaan.
Jurulatih Kim Jong-hun jarang memberikan sebarang bayangan apabila berkata: “Kami akan mengkaji semula taktik kami dan memutuskan sama ada kami perlu lebih sedikit menyerang atau lebih sedikit bertahan.”
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!