Korea Utara pasukan Asia pertama tersingkir
June 22, 2010 by admin
JIKA Cameroon menjadi pasukan Afrika pertama tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2010, Korea Utara pula menjadi wakil sulung Asia tersingkir daripada kejohanan di Afrika Selatan.
Harapan Korea Utara menebus kekalahan 44 tahun lalu apabila disingkirkan daripada Piala Dunia 1966 oleh Portugal di England tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, Korea Utara yang selama ini ‘menyepikan diri’ mengenai kekuatan barisan pemainnya, ‘teruk dibelasah’ barisan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo di Stadium Green Point, Cape Town, malam tadi.
Impian menyaksikan Korea Utara bangkit di separuh masa kedua selepas sekadar dibolosi satu gol menerusi jaringan Raul Mireles pada minit ke-29 meleset sama sekali.
Sebaliknya, Portugal yang berada di tangga ketiga ranking dunia, semakin garang sebaik babak kedua bermula dengan menambah enam lagi gol ke atas pasukan yang menduduki tangga ke-105 ranking dunia itu.
Sebaik Simao Sabrosa melebarkan jurang pada minit ke-53, kubu Korea Utara terus runtuh dengan Hugo Almedia menambah jaringan pada minit ke-56, Tiago (60), Liedson (81) dan Ronaldo menamatkan kemarau gol di peringkat antarabangsa pada minit ke-87 sebelum Tiago menjadikan 7-0 pada minit ke-89.
Kejayaan Portugal malam tadi menjadikan pertemuan mereka dengan Brazil bagi menentukan juara Kumpulan G pada Jumaat ini akan menjadi saingan menarik.
Brazil, yang telah pun mengesahkan laluannya ke pusingan kedua dengan enam mata, hanya memerlukan seri untuk menjuarai kumpulan itu.
Tetapi, jika Portugal kalah kepada Brazil, mereka masih mampu mara dengan kelebihan gol dengan syarat Ivory Coast kalah atau gagal mencatat kemenangan lebih besar ke atas Korea Utara.
Suatu tugas yang perlu dipikul oleh Ivory Coast jika masih menaruh impian untuk menyertai kelompok 16 pasukan terbaik di Afrika Selatan.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!