Profil Pasukan: Korea Selatan

June 1, 2010 by  

SELAKU sebuah pasukan gergasi di benua Asia, Korea Selatan pasti ada misi besar pada pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, bermula 11 Jun nanti.

Sepanjang tujuh penampilan pada pusingan akhir kejohanan bola sepak berprestij ini, Korea Selatan telah membuktikan pasukan dari Asia juga mampu bersaing dengan pasukan gergasi Eropah.

Untuk rekod, Korea Selatan pernah mencipta kejutan apabila menjadi pasukan pertama dari Asia yang layak ke separuh akhir pada kejohanan yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun pada 2002.

Biarpun kempunan untuk meneruskan aksi ke final, pencapaian skuad yang diberi jolokan The Taeguk Warriors itu sudah cukup untuk mengukir senyuman di kalangan penyokong setia mereka.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan tersebut turut dikongsi oleh seluruh negara dari benua Asia.

Ia juga dilakar di bumi Asia yang julung kalinya dipilih menjadi tuan rumah kejohanan itu.

Lebih manis, kejayaan itu juga telah menukar persepsi rakyat Korea Selatan yang menganggap bola sepak sebagai sukan kelas kedua kerana mereka lebih tertumpu ke arah sukan besbol.

Begitupun, detik manis yang dilalui oleh The Taeguk Warriors tidaklah seindah yang diimpikan.

Ini kerana ada pihak khususnya pengkritik-pengkritik bola sepak yang menganggap kejayaan itu tidak akan bertahan lama dan Korea Selatan tidak mampu untuk mengulangi pencapaian tersebut pada edisi yang seterusnya.

Persoalan utama yang dibangkitkan pengkritik-pengkritik ini adalah mengenai kemampuan Korea Selatan untuk mencipta kejayaan sekiranya kejohanan itu di adakan di negara lain.

Di sebalik kritikan itu, mereka seakan-akan ingin memperkecilkan kemampuan pasukan dari benua Asia yang dilihat sukar untuk memberikan saingan di peringkat tertinggi.

Memang benar kejayaan Korea Selatan itu hadir ketika mereka menjadi tuan rumah Piala Dunia 2002.

Tetapi ia adalah satu kelebihan untuk setiap pasukan yang menjadi tuan rumah bagi memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik mungkin dan mereka tidak perlu mempersoalkan perkara itu.

Ketika itu, penyokong setia The Taeguk Warriors dilihat berang dengan dakwaan yang dilemparkan ke atas pasukan kesayangan mereka itu tetapi mengambil sikap untuk berdiam diri sahaja.

Bagi mereka, ia merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan Korea Selatan kerana bimbang dengan peningkatan mendadak yang dipamerkan pasukan tersebut.

Mungkin persoalan yang dicetuskan selepas berakhirnya kempen Piala Dunia 2002 itu ada kebenaran.

Ketika layak sekali lagi ke pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman, Korea Selatan diletakkan selaku pasukan pilihan untuk mencipta kejutan, sekali gus mengulangi pencapaian yang direkodkan pada 2002.

Ternyata persoalan yang ditimbulkan oleh pengkrikit-pengkritik bola sepak sebelum ini sudah mula memperlihatkan jawapan mengenai kemampuan The Taeguk Warriors apabila tidak beraksi di tempat sendiri.

Memulakan kempen Piala Dunia 2006 dengan mencatatkan kemenangan ke atas Togo 2-1, ternyata dalam bola sepak nasib juga memainkan peranannya yanng tersendiri.

Dalam dua lagi perlawanan, Korea Selatan hanya mampu untuk mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Perancis manakala tewas ditangan Switzerland 0-2 sekaligus ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama pada kejohanan tersebut.

Segala persoalan yang pernah ditimbulkan sebelum itu sedikit sebanyak telah memberi gambaran adakah mungkin benar pasukan dari Asia hanya layak untuk bergelar ‘jaguh kampung’ sahaja?

Tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak, kini telah tiba masanya buat Korea Selatan membuktikan kepada dunia mereka juga layak digelar sebagai pasukan pilihan.

Sejak dibawah kendalian jurulatih tempatan, Huh Jung Moo skuad The Taeguk Warriors sekali lagi membuktikan kehebatan selaku pasukan gergasi Asia apabila mencatatkan rekod tanpa kalah dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2010 yang lalu.

Sejak mengambil alih tugas selaku jurulatih Korea Selatan daripada jurulatih dari Belanda, Pim Verbeek, Jung Moo telah membawa perubahan yang banyak ke atas skuad kendaliannya itu.

Ingin menukar persepsi pihak-pihak yang melabel The Taeguk Warriors sebagai ‘jaguh kampung’, Jung Moo ternyata mempunyai percaturan serta strateginya yang tersendiri bagi menyaingi pasukan-pasukan handalan yang lain.

Berbekalkan dengan barisan pemain yang tidak kurang hebatnya, Jung Moo dilihat tidak mempunyai masalah dalam usaha menggarap ramuan terbaik buat skuad kendaliannya.

Tidak ramai yang mengetahui sebenarnya apabila beberapa bintang Korea Selatan ketika ini sedang menimba pengalaman beraksi bersama buat beberapa kelab dalam saingan Liga Eropah.

Antara yang dilihat berjaya mencuri perhatian dunia sudah pastinya tonggak tengah Manchester United, Park Ji-Sung yang juga merupakan kapten Korea Selatan.

Bintang Ji-Sung menyinar ketika dia membantu Korea Selatan layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2002 dan ketika itu pengurus United, Alex Ferguson sudah mula menyatakan hasrat bagi mendapatkan khidmat pemain tersebut.

Ternyata usaha Ferguson membawa Ji-Sung ke United sudah membuahkan hasilnya apabila pemain itu sering kali dilihat diberi kepercayaan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama The Reds Devil dalam perlawanan-perlawanan penting.

Selain Ji Sung, ada beberapa lagi pemain yang sedang baraksi buat kelab-kelab di Eropah antara tonggak tengah Bolton Wanderers, Lee Chung-Yong, Cha Du Ri (SC Freiburg), Kim Nam Il (Tom Tomsk) dan Ki Sung Yong (Celtic).

Kini, segala-galanya terletak di bahu Jung Moo untuk mencorakkan skuad kendaliannya itu bagi membuktikan kepada pihak-pihak yang sering mengkritik skuad tersebut agar dapat menyamai kehebatan pasukan-pasukan lain terutamanya dari Eropah.

Piala Dunia di Afrika Selatan yang akan membuka tirainya 11 Jun depan dianggap sebagai landasan terbaik buat The Taeguk Warriors untuk mencipta kejutan sekali lagi. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN KOREA SELATAN)

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!