Prebiu: Nigeria vs Korea Selatan

June 22, 2010 by  

KOREA Selatan tidak boleh memandang rendah cabaran Nigeria dalam aksi ‘hidup mati’ kedua-dua pasukan awal pagi nanti, biarpun lawan turun dengan reputasi gagal memenangi kedua-dua perlawanan Kumpulan B.

Gergasi Afrika itu menjanjikan kebangkitan kerana sedar, mereka masih berpeluang untuk meraih tiket ke peringkat kalah mati andai menundukkan Korea, pasukan yang menumpaskan Greece 2-0 dalam saingan pembukaan tetapi tewas 1-4 kepada Argentina dalam perlawanan kedua.

Kecuali Argentina yang hampir pasti menempah tiket kalah mati, Greece, Korea Selatan dan Nigeria masih berpeluang merebut tempat kedua.

Seandainya Greece kalah kepada Argentina dalam satu lagi perlawanan, Korea hanya memerlukan seri menentang Nigeria untuk meneruskan kemaraan.

“Perlawanan terakhir menentang Nigeria tidak mudah kerana kedua-dua pasukan berada dalam keadaan terdesak.

“Kami perlu memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan jika mahu mencari kemenangan. Kami perlu mempamer aksi lebih tersusun berbanding ketika tumpas kepada Argentina,” kata jurulatih Korea, Huh Jung-moo.

Nigeria pula bersemangat untuk menebus kekalahan 2-1 mereka kepada Greece, dalam satu perlawanan yang berubah akibat penyingkiran pemain tengah Nigeria, Sani Kaita pada minit ke-33 dan terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain.

“Kami masih berpeluang. Apa yang penting memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan cuba memenangi perlawanan, jangan fikir perkara lain,” ujar jurulatih mereka, kata Lars Lagerback.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!