Luis Suarez pemusnah Korea Selatan
June 27, 2010 by admin
PENYERANG Uruguay, Luis Suarez menyumbat dua gol ketika membantu pasukan Amerika Selatan itu menundukkan wakil Asia, Korea Selatan 2-1 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Nelson Mandela Bay, Port Elizabeth malam tadi.
Penyerang kelab Ajax Amsterdam itu yang dipilih pemain terbaik perlawanan ternyata menjadi duri dalam daging kepada benteng Korea Selatan apabila seawal minit kelapan menggegar gawang lawan dengan menyudahkan hantaran Diego Forlan dari sebelah kiri gawang.
Lee Chung-yong menggembirakan Korea Selatan dengan menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-68 selepas penjaga gol Fernando Muslera gagal menumbuk keluar bola daripada sepakan percuma di luar kotak penalti.
Namun kegembiraan Korea Selatan terencat apabila Suarez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 dengan menggelecek dua pertahanan sebelum melencongkan bola dengan kaki kanan yang terkena tiang dan melantun masuk menewaskan penjaga gol Jung Sung-Ryong.
Dua jaringan itu turut melonjak Suarez berkongsi sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia 2010 setakat ini bersama lima pemain lain dengan koleksi tiga gol.
“Saya sering mengimpikan detik ini sejak remaja lagi. Detik ini sukar digambarkan,” kata Suarez. “Sebagai pemain bola sepak anda perlu selalu bekerja keras, lebih-lebih lagi ketika beraksi dalam Piala Dunia.”
“Pemain saya tidak pernah berputus asa, mereka garang dan berjaya memberi saingan, membuktikan semangat sejati Korea. Uruguay bernasib baik menjaringkan gol, kami tewas kerana tidak mampu menyaingi mereka,” kata jurulatih Korea Selatan Huh Jung-moo.
Uruguay tidak pernah berjaya mara ke peringkat suku akhir sejak kali terakhir pasukan Amerika Selatan itu mara hingga ke separuh akhir pada kejohanan Piala Dunia 1970.
Kemenangan ke atas Korea Selatan menjadikan Uruguay menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir dan akan bertemu Ghana - yang menewaskan Amerika Syarikat awal pagi tadi - di Johannesburg, Jumaat ini.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!