Korea Selatan, Greece buat perhitungan
June 12, 2010 by admin
KOREA Selatan dan Greece, dua pasukan yang memiliki sejarah lampau yang hebat akan membuat perhitungan pada aksi pembukaan Piala Dunia 2010 malam ini.
Korea Selatan mencipta kejutan apabila layak ke separuh akhir Piala Dunia 2002 ketika menjadi tuan rumah bersama Jepun manakala Greece menjuarai Kejuaraan Eropah (Euro) 2004.
Malangnya selepas pencapaian itu, mereka tidak pernah merekodkan kejayaan yang lebih tinggi daripada itu.
Begitupun kedua-dua pasukan memiliki peluang yang lebih realistik untuk mara ke pusingan kedua dalam saingan Kumpulan B yang turut menampilkan Argentina dan Nigeria.
Korea Selatan memulakan kempen Piala Dunia 2006 di Jerman dengan menewaskan Togo 2-1, kemenangan pertama yang direkod ketika menyertai Piala Dunia di luar benua Asia.
Kemudian skuad bimbingan Huh Jung- moo ini mencatat keputusan seri 1-1 dengan Perancis hasil gol penyamaan pemain sayap Manchester United, Park Ji-sung.
Namun, kekalahan 0-2 kepada Switzerland telah menyekat laluan mereka untuk melangkah ke pusingan kedua.
Bagi Greece, penampilan kali ini adalah yang kedua dan pencapaian pada penampilan yang pertama dulu pasti tidak akan dilupakan.
Selepas menduduki tempat pertama dan tidak pernah tewas dalam saingan peringkat kumpulan, Greece berkunjung ke Amerika Syarikat pada tahun 1994 dengan harapan yang cukup tinggi.
Begitupun mereka gagal mencapai sasaran apabila tewas 0-4 kepada Argentina dan Bulgaria serta 0-2 di tangan Nigeria.
Selepas 10 tahun, Greece melakar sejarah apabila memenangi gelaran Euro 2004 tetapi mereka gagal meneruskan kecemerlangan itu apabila terkandas pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2006.
Malam ini, skuad bimbingan Otto Rehhagel ini berhasrat untuk menewaskan Korea Selatan meskipun terpaksa bermain tanpa tonggak pertahanan tengah, Vangelis Moras yang masih belum pulih daripada kecederaan paha.
“Saya tidak mahu mengambil risiko untuk beraksi pada perlawanan ini,” kata Moras.
“Saya mahu cergas sepenuhnya untuk menghadapi Nigeria.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!