Rentak England sumbang

June 28, 2010 by  

ENGLAND ditunjuk jalan keluar oleh Jerman daripada kempen Piala Dunia 2010. Skuad bimbingan Fabio Capello itu dibelasah 4-1 oleh Jerman yang tampil bertenaga pada perlawanan pusingan kedua di Stadium Free State, malam tadi

Kekalahan itu memaksa England ‘gulung tikar’ sementara Jerman melangkah bergaya ke pusingan suku akhir dan bakal berdepan Argentina untuk menyamai pencapaian Piala Dunia 2006.

Sekalipun percubaan pemain tengah England, Frank Lampard yang sudah melepasi garisan gol dibenarkan oleh penjaga garisan, Jorge Larrionda dari Uruguay, ia masih belum cukup untuk menyekat kemaraan Jerman yang membuka tirai jaringan menerusi Miroslav Klose pada minit ke-20.

Lukas Podolski menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-32 sebelum Matthew Upson merapatkan jurang pada minit ke-37.

Sebaik babak kedua bermula, England dilihat lebih yakin dan agresif tetapi ia tidak bertahan lama kerana lawan mereka itu bijak membaca percaturan mereka.

Dua gol jaringan Thomas Mueller menerusi serangan balas yang pantas pada minit ke-67 dan 70 telah memusnahkan sama sekali impian England untuk meneruskan perjuangan mereka di bumi Afrika.

Dengan rentak sumbang yang mereka pamerkan sejak aksi peringkat kumpulan lagi, bola sepak England tidak mungkin mampu menggegar dunia.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!