Prebiu: Jerman vs England
June 27, 2010 by admin
JERMAN dan England bertembung bagi satu tempat ke suku akhir Piala Dunia, hari ini dengan kedua-duanya mengabaikan gembar-gembur yang melingkari pertemuan mereka di gelanggang bola sepak.
Kedua-dua skuad mengambil sikap memberi tumpuan kepada perlawanan pusingan kedua di Bloemfontein daripada mengheret lagi permusuhan politik dan ketenteraan - khususnya oleh media tabloid England.
“Masa yang sewajarnya untuk melupakan (Perang Dunia Kedua). Ini tahun 2010, kita semua dalam EU (Kesatuan Eropah) dan ia sangat-sangat tidak sesuai untuk membangkitkan perkara tersebut,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.
Sejak kemenangan 4-2 England dalam masa tambahan yang sengit ke atas Jerman pada perlawanan akhir Piala Dunia 1966, Jerman telah memenangi lima daripada 11 pusingan akhir kejohanan utama yang disertainya.
England boleh mengira hanya penampilan separuh akhir Piala Dunia 1990 dan Kejohanan Eropah 1996 - kedua-duanya kalah dalam penentuan penalti kepada Jerman.
“Ini tahun 2010 dan perlawanan tersebut tidak akan membawa banyak erti. Kami belum lagi lahir ketika itu ,” kata ketua pasukan Jerman, Philipp Lahm.
Penjaga gol England, David James berkata, rakan sepasukannya sudah memikirkan secukupnya mengenai persediaan mereka bagi sebuah pasukan yang membelasah Australia 4-0, kecundang kepada Serbia dan menewaskan Ghana.
“Akan ada banyak rujukan sejarah tetapi bagi kami, ia satu perlawanan menentang sebuah pasukan yang bagus dan kami perlu menang untuk mara,” kata James.
Kedua-duanya tidak bertemu pada sebuah kejohanan utama selama sedekad tetapi Loew berkata, pasukannya cukup tahu apa yang dijangkakan.
“England tetap England. Ia sebuah pasukan dengan semangat juang yang banyak dan gagah dari segi mental dan dengan pengalaman yang menakjubkan.
“Ditunjangi John Terry, Frank Lampard, Steven Gerrard dan Wayne Rooney, mereka memiliki kualiti tertinggi yang anda dapat temui dalam bola sepak Eropah,” katanya.
Rooney berpeluang pulih daripada sakit buku lali yang memaksanya keluar pada babak kedua menentang Slovenia.
Kebimbangan terbesar Jerman ialah kecederaan Bastian Schweinsteiger pada paha kanannya ketika menang 1-0 ke atas Ghana.
Schweinsteiger memikul tanggungjawab bahagian tengah dalam kejohanan ini akibat ketiadaan ketua pasukan yang tercedera, Michael Ballack.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!