Sepakan maut Honda, Endo julang Jepun
June 26, 2010 by admin
SEPAKAN percuma menakjubkan Keisuke Honda dan Yasuhito Endo mencetus inspirasi kepada kemenangan 3-1 Jepun ke atas Denmark yang membawa mereka ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama di bumi asing. [VIDEO]
Dua rembatan pada separuh masa pertama meletakkan skuad Takeshi Okada di landasan betul untuk bertemu Paraguay di Pretoria, Selasa ini.
Denmark merapatkan jurang menerusi Jon Dahl Tomasson yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua sebelum pemain gantian Jepun, Shinji Okazaki menambah gol ketiga buat menambah derita Denmark.
Pemain terbaik perlawanan, Honda berkata, dia yakin Jepun mampu merealisasi impian mara lebih jauh kali ini dalam kejohanan ini.
“Saya gembira ketika ini tapi misi urusan kami belum selesai di sini. Saya yakin kami boleh pergi lebih jauh di kejohanan ini,” kata bintang CSKA Moscow itu.
Jurulatih Denmark, Morten Olsen berkata pasukannya terpaksa menerima padah kerana gagal memanfaatkan peluang awal.
“Ia memberi perbezaan besar pada tahap ini. Mereka menggunakan peluang yang ada, kami tidak, dan ia menjadi semakin sukar,” kata Olsen.
***
PENYOKONG Jepun yang keletihan tetapi riang, menikmati pembikinan sejarah baru bola sepak negara itu yang mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia di benua asing buat kali pertama, sekali gus menafikan jangkaan sebelum perlawanan.
Jalan raya di Shibuya, pusat tumpuan remaja di Tokyo, dibanjiri penyokong-penyokong setia ‘ Samurai Biru’ yang bersengkang mata meraikan kejayaan menundukkan Denmark 3-1 untuk mara ke pusingan kedua kalah mati buat kali kedua dalam sejarah penyertaan mereka.
Ada yang menari, berpelukan dan ada pula seorang remaja Jepun terjun dari jambatan Dotonbori di Osaka menyambut kemenangan bersejarah itu.
Hampir 5,000 penyokong setia Jepun yang hadir ke Stadium Saitama melonjak kegembiraan apabila melihat pasukan mereka mudah menjaringkan gol, dan bertahan dengan cemerlang.
Jepun akan menentang Paraguay dalam pusingan kedua, Selasa ini buat pertama kali selepas kejayaan di halaman sendiri pada 2002 ketika menjadi tuan rumah bersama dengan Korea Selatan.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!