Profil Pasukan: Jepun
June 9, 2010 by admin
JURULATIH Jepun, Takeshi Okada menyasarkan untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia di Afrika Selatan. Namun, berdasarkan keputusan yang dicatat Jepun, harapan untuk melepasi pusingan pertama amat sukar.
Jepun bakal membuat penampilan kali keempat berturut-turut pada Piala Dunia, namun tidak pernah menang dalam sebarang perlawanan di luar negara sendiri.
Undian juga tidak memihak kepada Jepun apabila dalam kumpulan sukar bersama Belanda, Denmark dan Cameroon dalam Kumpulan E.
Namun, Okada yakin pasukannya masih mampu membuat kejutan.
“Apabila saya melakukan perancangan taktikal di dalam pasukan ini, saya meletakkan matlamat untuk menang ke atas pasukan besar.
“Sasaran utama kami di Afrika Selatan ke peringkat separuh akhir.
“Korea Selatan pernah melakukannya pada tahun 2002, jadi saya tidak fikir kami tidak boleh mengikut jejak langkah mereka,” kata Okada.
Ini merupakan Piala Dunia kedua buat Okada. Dia menggantikan Ivica Osim pada Disember 2007.
Di bawah pengurusan Okada pada Piala Dunia 1998, Jepun tewas dalam semua perlawanan dalam peringkat kumpulan, menjaringkan satu gol dan bolos empat gol.
Jepun pernah mengambil Zico sebelum Piala Dunia 2006 di Jerman, namun keputusan yang dicatatkan begitu mengecewakan, kalah kepada Australia dan Brazil serta seri 0-0 dengan Croatia.
Keputusan terbaik yang pernah dihasilkan oleh Jepun di Piala Dunia ialah pada 2002, sebagai tuan rumah bersama Korea Selatan, apabila layak ke pusingan kedua di bawah bimbingan Philippe Troussier.
Namun, persembahan mereka dibayangi dengan kehebatan pasukan Korea Selatan, yang layaki ke separuh akhir.
Pemain paling bernilai buat Jepun pada masa kini ialah Shunsuke Nakamura, yang baru sahaja kembali ke Liga-J, bersama Yokohama F Marinos selepas gagal menyerlah di Espanyol.
Berusia 31 tahun, Nakamura jarang mendapat tempat ketika di Sepanyol, selepas cukup hebat semasa bersama Celtic di Liga Perdana Scotland.
Dia akan kembali bermain dalam Liga-J selepas lapan tahun dalam usahanya mendapatkan kecergasan menjelang Piala Dunia.
Okada dikritik hebat pada Februari lalu selepas pasukannya tidak menyerlah pada kejohanan empat negara Asia Timur.
Jepun menamatkan cabaran di tangga ketiga di belakang China, yang membuat kejutan dengan muncul juara dan Korea Selatan di tempat kedua.
Penyokong Jepun, yang amat diketahui mempunyai reputasi mengagumkan, meminta jurulatih yang berusia 53 tahun itu meletak jawatan dengan segera, selepas mendapat ejekan ketika tewas 1-3 kepada Korea Selatan.
Presiden Persekutuan Bolasepak Jepun, Motoaki Inukai masih mahu memberikan peluang kepada Okada, namun memberi amaran jika keputusan yang sama dihasilkan di Afrika Selatan, Okada akan menerima padah.
Okada memberikan banyak harapan kepada penyokong Jepun, bahawa segala perancangan berjalan dengan sempurna, namun kegagalan menjaringkan banyak gol membuatkan ramai pihak semakin risau.
Pasukan itu hanya berupaya menjaringkan tiga gol pada kejohanan Piala Asia Timur.
Sebagai bantuan kepada Nakamura, Okada akan mengharapkan aksi penyerang, Shinji Okazaki yang menjaringkan 15 daripada 20 gol pada pusingan kelayakan, namun gagal mendapatkan sebarang jaringan pada kejohanan tersebut.
”Jurulatih pernah berkata kami perlu berlawan jika berhasrat mahu melangkah jauh. Ia adalah perkara yang perlu dilakukan oleh kami buat masa sekarang,” katanya.
Okazaki akhirnya mendapat kembali sentuhan jaringan ketika menang 2-0 ke atas Bahrain pada Mac lalu.
Pemain muda, Keisuke Honda yang menjaringkan gol dalam pertemuan itu, turut semakin meningkat, begitu juga dengan penyerang Catania, Takayuki Morimoto.
Seperti Nakamura, Yoshito Okubo akan kembali ke Jepun selepas gagal menyerlah di Eropah namun perlu segera mencari kembali kecergasan seperti mana aksinya memenangi Pemain Muda Terbaik Asia pada tahun 2003.
Walaupun harapan yang disandarkan kepada Okada terlalu tinggi, keyakinan penyokong Jepun semakin realistik dari tahun ke tahun. Melihatkan kekuatan pada pasukan lain di dalam kumpulan, kebanyakan penyokong sudah cukup gembira sekiranya berjaya melepasi sekurang-kurangnya pusingan pertama. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN JEPUN)
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!