Prebiu: Paraguay vs Jepun

June 29, 2010 by  

JEPUN kini memperoleh peluang baik untuk menamatkan kesedihan Asia apabila berdepan pasukan Amerika Selatan, Paraguay dalam aksi pusingan kedua malam ini.

Belum ada pasukan Asia yang menewaskan skuad dari Amerika Selatan dalam Piala Dunia.

Dengan rekod 10 pertembungan, pasukan dari Amerika Selatan telah memperoleh lapan kemenangan dan dua perlawanan lagi berkesudahan dengan seri iaitu pada 1966 ketika Chile seri 1-1 dengan Korea Utara dan pada 1994 apabila Bolivia seri 0-0 dengan Korea Selatan.

Jepun layak ke pusingan kedua dari saingan kumpulan yang sukar, menjadikannya calon kuat yang akan menamatkan penghalang Asia ini dan mara ke peringkat suku akhir buat pertama kali.

Walaupun Paraguay merupakan juara Kumpulan F, kumpulan yang turut disertai oleh juara dunia Itali, Slovakia dan New Zealand, mereka jarang mempamerkan keghairahan serangan yang dijangka sebelum ini dengan penglibatan penyerang kelas dunia seperti Roque Santa Cruz, Lucas Barrios dan Nelson Valdez.

Sementara itu, Jepun telah mempersembahkan permainan yang merupakan antara yang menyeronokkan dalam kejohanan Piala Dunia kali ini dengan corak serangan bertubi-tubi dan penguasaan padang.

Selepas menewaskan Denmark 3-1 dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan, penyerang Keisuke Honda, yang menjaringkan gol melalui tendangan percuma dari jarak 30 meter, kini memberi tanda-tanda bahawa pasukannya akan layak ke kelompok lapan terbaik.

“Bagi saya dan pasukan, perlawanan seterusnya adalah lebih penting kerana kami mahu menunjukkan kepada rakyat Jepun bahawa tiada yang mustahil.

“Paraguay akan cuba sedaya upaya untuk mengkucar-kacirkan pasukan kami. Setiap gol kini amat bernilai pada peringkat kalah mati ini dan adalah penting untuk kami memperoleh jaringan pembukaan,” katanya kepada laman web fifa.com.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Paraguay, Julio Cesar Caceres berkata, mereka tidak akan berpuas hati dengan mara ke pusingan kedua sahaja, pencapaian yang telah diperoleh tiga kali.

“Kami gembira kerana telah melayakkan diri, tetapi objektif kami ialah untuk melakar sejarah dan pertemuan dengan Jepun adalah perlawanan yang paling penting.

“Kami berupaya untuk bermain dalam perlawanan yang besar. Jepun ialah pasukan yang pantas dan kami perlu memikirkannya secara terperinci ketika menentang mereka,” jelas Caceres.

*****

PENYERANG Paraguay, Roque Santa Cruz berharap tuah memihak kepada pasukannya pada percubaan kali ketiga di pusingan kalah mati Piala Dunia apabila berdepan Jepun di Pretoria malam ini.

Penyerang Manchester City itu telah mengharungi dua kempen Piala Dunia yang lepas yang mana Paraguay tersingkir pada pusingan tersebut.

Namun, biarpun gagal pada edisi 2002 di Korea Selatan/Jepun dan 2006 di Jerman, kali ini Santa Cruz percaya Paraguay mampu mara selangkah lagi pada edisi di Afrika Selatan ini.

“Kami mahu melakukan sesuatu yang tidak pernah kami berjaya laksanakan dan juga mencatatnya sebagai satu sejarah,” kata Santa Cruz.

“Kami ada peluang kali ini. Walaupun masih ada beberapa masalah di bahagian serangan dan pertahanan, namun saya percaya kami masih mampu melaksanakannya.

“Saya rasa pencapaian kami kali ini banyak dibantu oleh keyakinan dalam diri sendiri di kalangan pemain. Kami telah berlatih bersama dan berusaha dengan keras, jadi itulah apa yang paling utama.

“Ini sudah pasti menjadi Piala Dunia terakhir saya, jadi saya harap ia akan menjadi sesuatu yang istimewa,” katanya yang pernah memenangi gelaran Liga Juara- Juara bersama Bayern Munich pada 2001.

Get the Flash Player to see this content.

*****

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!