Profil Pasukan: Itali
June 1, 2010 by admin
TAMPIL selaku penyandang juara, Itali pastinya menjadi perhatian pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Justeru, skuad yang diberi jolokan sebagai Azzurri itu akan menampilkan barisan terkuat dalam usaha mereka bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada Piala Dunia 2006 di Jerman.
Tatkala hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum pusingan akhir Piala Dunia 2010 membuka tirainya, Itali kini dalam persiapan terakhir bagi menghadapi kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.
Untuk rekod, Itali telah menjulang Piala Dunia sebanyak empat kali iaitu pada edisi 1934, 1938, 1982 dan 2006.
Pada kempen di Afrika Selatan kali ini, Itali diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk sekali lagi bergelar juara selain juara lima kali, Brazil dan juga juara Eropah, Sepanyol.
Itali yang kini dibimbing oleh Marcello Lippi hampir pasti mempertaruhkan barisan pemain yang sama ketika skuad Azzurri itu muncul juara pada kempen Piala Dunia 2006.
Beberapa muka baru juga akan turut disenaraikan bagi digandingkan dengan tonggak berpengalaman dalam usaha Lippi membentuk sebuah pasukan yang mantap.
Mungkin ramai yang beranggapan sekiranya Lippi akan tetap membariskan pemain-pemain yang sama ketika kempen 2006, ia dilihat sebagai percaturan yang ‘lapuk’ bagi sebuah pasukan gergasi Eropah.
Namun harus diingat, kredibiliti Lippi selaku jurulatih sudah tidak boleh dipertikaikan apabila Itali berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2010 sebelum ini.
Dengan dibarisi rata-rata pemain yang boleh dianggap veteran, skuad Azzurri berjaya mencatatkan tujuh kemenangan dan tiga seri pada kempen kelayakan tersebut.
Keputusan tersebut sekali gus menandakan bahawa faktor usia pemain bukanlah penghalang bagi anak-anak buah Lippi mempamerkan prestasi konsisten untuk mengharungi setiap perlawanan.
Sejarah Piala Dunia membuktikan bahawa masih belum ada mana-mana pasukan dari Eropah yang berjaya memenangi trofi berprestij itu apabila ia berlangsung di luar benua tersebut.
Disebabkan itu, Itali mahu memecahkan tradisi tersebut dengan muncul juara selepas buat julung kalinya kempen Piala Dunia berlangsung di benua Afrika.
Tidak cukup dengan itu, skuad Azzurri turut mahu menyamai rekod kejuaraan yang dimenangi Brazil iaitu sebanyak lima kali.
Jika dibuat penilaian, Itali dilihat tidak berdepan halangan sukar untuk mencapai segala matlamat mereka itu berdasarkan barisan pemain yang dimiliki.
Dengan dibarisi rata-ratanya tonggak berpengalaman, ia dilihat sudah cukup bagi mengimbangi kekuatan daripada setiap bahagian dalam skuad Azzurri itu.
Apa yang lebih menarik mengenai skuad Azzurri, hampir kesemua pemain mereka hanya beraksi bersama kelab-kelab liga tempatan, sekali gus membuktikan bahawa tahap permainan dalam saingan Serie A dapat menyaingi liga-liga Eropah yang lain.
Posisi selaku penjaga gol Nombor satu sudah pasti menjadi milik Gianluigi Buffon yang kini beraksi buat kelab Juventus manakala Federico Marchetti (Cagliari) dan Morgan De Sanctis (Napoli) akan bertindak sebagai penjaga gol kedua dan ketiga.
Sebelum ini, dalam kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa, Itali cukup terkenal dengan kekentalan benteng pertahanannya sehingga sukar untuk ditembusi pihak lawan.
Pada kempen kali ini, Lippi sudah pasti menagih khidmat tonggak berpengalaman Juventus, Fabio Cannavaro bagi mengetuai benteng pertahanan.
Selain Cannavaro, skuad Azzuri juga memiliki beberapa lagi pemain yang tidak kurang hebatnya di bahagian pertahanan seperti Gianluca Zambrotta (AC Milan), Leonardo Bonucci (Bari), Giorgio Chiellini (Juventus) dan Christian Maggio (Napoli).
Kelincahan tonggak tengah AS Roma, Daniele De Rossi pasti menjadi senjata utama Itali bagi mengemudi jentera tengah.
Begitupun, Rossi tidak akan dibiarkan bersendirian apabila dia dijangka dibantu beberapa lagi pemain seperti Andrea Pirlo (AC Milan), Simone Pepe (Udinese), Mauro Camoranesi (Juventus) serta Alberto Aquilani (Liverpool) dibahagian tengah.
Bagi jentera serangan, Lippi tidak perlu bimbang lagi kerana dia memiliki beberapa pemain yang dilihat mempunyai kualiti selaku pemain penyerang.
Nama-nama seperti Alberto Gilardino (Fiorentina), Vincenzo Iaquinta (Juventus), Antonio Di Natale (Udinese), Giampaolo Pazzini (Sampdoria) dan Giuseppe Rossi Villarreal merupakan antara penyumbang gol utama Itali sejak kebelakangan ini.
Berbekalkan barisan pemain yang mantap, Lippi kini sudah boleh mencongak mengenai peluang anak-anak buahnya untuk menjulang trofi berprestij itu sambil mengharapkan tuah di bumi Afrika nanti.
“Tidak ada pasukan lain yang hebat seperti Itali namun saya tidak ingin mengatakan yang kami lebih baik daripada pasukan-pasukan lain.
“Saya mahu anda sendiri mengatakan yang kami tidak boleh dipandang rendah oleh mana-mana pasukan lain,” jelas Lippi.
Pada kempen Piala Dunia 2010, Itali diundi dalam Kumpulan F bersama Paraguay, New Zealand dan Slovakia. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN ITALI)
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!