Prebiu: Slovakia vs Itali

June 24, 2010 by  

JIKA Itali gagal mengalahkan Slovakia hari ini, maka nasib pasukan Azzurri akan seperti Perancis, mungkin dikecam lebih teruk; penyandang juara yang tersingkir seawal pusingan pertama.

Perancis pernah merasai keperitan itu apabila tersingkir di pusingan pertama pada Piala Dunia 2002 selepas muncul juara 1998, malah mereka sekali lagi pulang awal di Afrika Selatan, biarpun turun selaku naib juara dunia.

“Kami sangat bimbang. Saya pernah bercakap tentang perkara ini sebelum kejohanan bermula dan hari ini saya mengulangi kata-kata saya. Jika kami gagal melepasi pusingan pertama, ia adalah kegagalan amat besar,” akui bintang tengah Itali, Daniele De Rossi.

Itali bergelut dengan prestasi sejak kejohanan bermula. Skuad Azzurri itu seri 1-1 pada saingan pembukaan menentang Paraguay, dan memerlukan penalti untuk mengikat pasukan ranking ke-78 dunia, New Zealand 1-1 dalam perlawanan kedua.

“Kalau kami tidak boleh menang, maka kami tidak berhak layak. Kami adalah Itali dan kami sepatutnya boleh menang salah satu daripada tiga perlawanan ini. Jika itu tidak berlaku, hukuman paling adil adalah pulang awal,” kata De Rossi lagi.

Bagaimanapun, rekod lampau membuktikan, Itali sering bergelut pada awal saingan sebelum akhirnya mencipta kejayaan.

Pada 1982, mereka juga seri dalam dua perlawanan pertama tetapi menutup kempen dengan merangkul kejuaraan dunia buat kali ketiga.

Malah, pada kejohanan tersebut, skuad Azzurri sebenarnya seri ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan tetapi masih mampu melayakkan diri ke final dan mengalahkan Jerman Barat 3-1.

“Jangan terkejut kalau kami boleh mengulangi pencapaian lalu. Anda hanya boleh menilai sesebuah pasukan itu pada hujung pertandingan,” kata jurulatih mereka, Marcello Lippi said.

Jika Itali memenangi perlawanan di Ellis Park, Johannesburg hari ini, mereka akan melayakkan diri secara automatik tetapi jika ia berakhir seri, maka Azzurri berharap satu lagi perlawanan - Paraguay dan New Zealand turut berkesudahan seri.

Sekiranya kedua-dua perlawanan berakhir seri, maka pada akhirnya kedudukan Itali dan New Zealand untuk ke pusingan kedua akan ditentukan menerusi lambungan duit syiling, pada ketika Paraguay layak selaku juara kumpulan.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!