Juara bertahan tersingkir awal

June 25, 2010 by  

JUARA bertahan, Itali mengulangi nasib Perancis pada kejohanan 2002 apabila tersingkir daripada Piala Dunia 2010 selepas tewas 2-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan F bertemu pasukan kerdil, Slovakia di Stadium Ellis Park, malam tadi.

Pada kejohanan Piala Dunia 2002, Perancis yang tampil selaku juara bertahan terkandas di peringkat kumpulan apabila hanya memungut satu, namun gagal menjaringkan sebarang gol.

Itali buat kali ketiga berturut-turut dibolosi terlebih dahulu dan kali ini mereka gagal untuk bangkit dengan sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri tatkala Slovakia membuktikan kali pertama beraksi di Piala Dunia bukan satu halangan besar buat mereka mara ke pusingan kedua.

Robert Vittek terlebih dahulu membuka jaringan buat pasukan bimbingan Vladimir Weiss pada minit ke-25 sebagai amaran awal bahawa The Fighting Jondas mahu memalukan Azzurri di hadapan jutaan penonton di seluruh dunia.

Gol tersebut terhasil selepas barisan tengah Itali memberi ruang kepada pemain sayap kanan Slovakia, Juraj Kucka bergerak bebas sebelum melakukan hantaran ke depan kepada Vittek yang tidak menghadapi masalah menolak bola ke dalam petak menewaskan Federico Marchetti.

Bagaimanapun, Itali yang merupakan penyandang juara, memulakan aksi dengan langkah bergaya apabila penyerang mereka, Antonio Di Natale mempunyai peluang di minit pertama bagaimanapun percubaannya dari jarak 35 meter tersasar keluar.

Tersentak dengan serangan kilat skuad Azzurri itu ketua pasukan Slovakia, Marek Hamsik melakukan rembatan voli lima minit kemudian hasil hantaran Vittek, namun tidak menemui sebarang hasil.

Tidak berpuas hati dengan aksi anak buahnya pada separuh masa pertama menyaksikan Marcello Lippi melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan Gennaro Gattuso dan Dominico Criscito memasukkan Fabio Quagliarella dan Christian Maggio.

Slovakia tidak gentar dengan sebarang percaturan baru Itali itu sebaliknya pada minit ke-73 Vittek menambah gol kedua apabila pemain kelab Ankaragucu, Turki itu menyudahkan hantaran lintang Hamsik.

Itali merapatkan kedudukan pada minit ke-81 melalui Di Natale selepas dia menyudahkan hantaran Quagliarella dalam petak penalti menewaskan penjaga gol Slovakia, Jan Mucha.

Ketika Itali cuba untuk mencari gol penyamaan bagi membolehkan mereka menempah tempat ke saingan pusingan kedua Slovakia menambah gol ketiga pada minit ke-89 hasil jaringan Kamil Kopunek berpunca dari lontaran jauh, Peter Pekarik.

Pada masa kecederaan Itali memperoleh jaringan kedua melalui Quagliarella.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!