Itali bukan pasukan ‘kuda tua’
May 28, 2010 by admin
PEMAIN pertahanan Itali, Gianluca Zambrotta menafikan dakwaan yang mengatakan skuad The Azzurri dibarisi kelompok pemain-pemain bergelar ‘kuda tua’.
Itali akan berlepas ke Afrika Selatan minggu depan dalam misi mempertahankan trofi Piala Dunia yang dimenangi mereka di Jerman empat tahun lalu.
Baru-baru ini, jurulatih Itali, Marcello Lippi menjadi sasaran pengkritik apabila dia menyenaraikan ramai pemain berusia lebih 30 tahun dalam skuad The Azzurri itu.
Begitupun, Zambrotta pantas menafikan dakwaan itu sambil menganggap Itali dibarisi tonggak berpengalaman dan pemain muda berkaliber.
“Kami bukan sebuah pasukan ‘kuda tua’,” kata tonggak pertahanan AC Milan itu.
“Sembilan daripada pemain dalam skuad ini pernah memenangi trofi Piala Dunia di Jerman empat tahun lalu dan ia adalah satu nisbah yang baik.
“Skuad ini adalah campuran daripada pemain remaja yang bersemangat tinggi dan teruja untuk mempamerkan kekuatan masing-masing serta barisan pemain berpengalaman yang ingin melakukan yang terbaik, sekali gus memenangi Piala Dunia.
Zambrotta, 33, menambah: “Secara peribadinya, saya tidak berasa tua dan saya teruja untuk beraksi pada kejohanan ini. Saya masih mampu memberi sumbangan kepada pasukan.”
“Dalam kes ini, selalunya pasti ada keraguan pada sesi pemilihan pemain, namun kami tahu bagaimana mahu menghadapinya.”
Itali akan berdepan Mexico dalam aksi persahabatan di Brussels pada 3 Jun ini sebelum bertemu Switzerland di Geneva dua hari kemudian.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!