Profil Pasukan: Greece
June 8, 2010 by admin
MUNGKIN ada segelintir pihak menganggap penampilan skuad Greece pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, hanyalah sekadar melengkapkan kuota 32 pasukan.
Oleh sebab itu, tidak hairan sekiranya tiada siapa yang berani meramalkan nasib yang bakal diterima skuad tersebut pada kempen yang akan membuka tirainya pada 11 Jun nanti.
Skuad kendalian Otto Rehhagel ini sering kali dilabel sebagai pasukan ‘pengacau’ dan bukan merupakan pasukan pilihan peminat-peminat sukan bola sepak seluruh dunia.
Jika dilihat kepada barisan pemain yang dimiliki Greece, pasti ramai penggemar sukan bola sepak yang tidak mengenali mereka.
Ini kerana hampir kesemua pemain-pemain Greece kurang mendapat tempat bagi beraksi dalam saingan liga yang ‘popular’ di Eropah khususnya Liga Perdana England, Liga Sepanyol, Seria A dan Liga Divisyen Satu Jerman.
Andai ada sekalipun pemain-pemain Greece yang beraksi dalam saingan liga tersebut, mereka hanya sekadar memanaskan bangku simpanan ataupun beraksi buat kelab tercorot liga.
Tidak dapat dinafikan mana-mana pihak berhak melabel setiap pasukan itu, namun harus diingat mengenai pencapaian yang pernah direkodkan oleh skuad yang diberi jolokan The Pirate Ship ini.
Tahun 2004 adalah merupakan detik bersejarah buat seluruh rakyat Greece setelah pasukan bola sepak kebangsaan mereka berjaya mencipta sejarah dengan menjadi juara Kejohanan Bola Sepak Eropah di Portugal.
Kajayaan yang dicatatkan oleh anak-anak buah Rahhagel itu sememangnya dinantikan oleh seluruh rakyat negara tersebut kerana ia adalah merupakan kejuaraan pertama yang diperoleh sepanjang beraksi dalam kejohanan bola sepak.
Seluruh bandar utama di Greece berpesta meraikan kepulangan pemain-pemain bola sepak kebangsaan mereka yang dianggap sebagai wira.
Pada kejohanan yang boleh dilabel sebagai kejohanan kedua terbaik di dunia selepas Piala Dunia itu, Greece baru dua kali tampil dalam kejohanan tersebut.
Seperti kebiasaan, skuad The Pirate Ship langsung tidak diletakkan harapan oleh mana-mana pihak.
Begitupun, Greece berjaya menutup mulut pihak yang sebelum itu banyak mengkritik skuad tersebut dengan kejayaan membenam pasukan tuan rumah, Portugal 2-1 pada aksi perlawanan pertama peringkat kumpulan.
Persembahan cemerlang anak-anak buah Rahhhagel diteruskan dengan mengikat keputusan 1-1 dengan pasukan gergasi Eropah, Sepanyol sebelum mencatat keputusan seri dengan Rusia 2-2.
Dengan berbekalkan satu kemenangan dan dua seri, ia sudah cukup untuk membolehkan The Pirate Ship layak ke peringkat suku akhir.
Ketika itu, ramai yang menjangkakan Greece akan kecundang pada peringkat tersebut setelah dijadual berdepan juara bertahan, Perancis.
Bagaimanapun, andaian tersebut ternyata meleset selepas Greece berjaya menumbangkan skuad The Les Bleus 1-0, sekali gus mara ke peringkat separuh akhir.
Tugas berat menanti Greece apabila bakal berdepan dengan Republik Czech yang juga merupakan juara kumpulan selepas berjaya mencatat kemenangan dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.
Ternyata semangat juang yang tinggi dipamerkan barisan pemain berjaya menyerap segala tekanan dan akhirnya kemenangan menyebelahi mereka setelah Traianos Dellas berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada masa tambahan.
Kemenangan itu, sekali gus telah menyaksikan Greece layak k final Kejohanan Bola Sepak Eropah 2004 dan sekali lagi berdepan dengan pasukan tuan rumah, Portugal.
Pada final tersebut, Greece mempamerkan prestasi yang cukup konsisten sehingga berjaya mengekang asakan daripada pasukan tuan rumah dan Angelos Charisteas muncul wira skuad tersebut apabila menjaringkan gol kemenangan buat The Pirate Ship.
Kemenangan tersebut telah mencipta sejarahnya tersendiri apabila Greece merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan pasukan tuan rumah dan juara bertahan dalam satu kejohanan yang sama.
Namun, rekod cemerlang yang dicatatkan Greece itu gagal diulangi dalam beberapa kejohanan seterusnya.
Bermula dengan pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman sehingga Piala Eropah 2008 di Austria dan Switzerland, prestasi tidak menentu yang dipamerkan oleh anak-anak buah Rahhagel sudah pastinya meresahkan jurulatih tersebut.
Layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan menerusi perlawanan play-off, prestasi skuad The Pirate Ship sekali lagi menjadi persoalan.
Diundi bersama-sama pasukan gergasi Amerika Selatan, Argentina selain Nigeria dan juga Korea Selatan dalam kumpulan B, nasib Greece pada kempen itu nanti ternyata sukar diramal.
Malah, pengkritik-pengkritik bola sepak yang sebelum ini sering kali menghentam skuad kendalian Rahhagel itu juga tidak mahu berkata apa-apa mengenai peluang skuad tersebut.
Yang pasti, hanya masa dan keadaan sahaja yang bakal menentukan nasib The Pirate Ship pada kempen Piala Dunia 2010 yang buat julung kalinya diadakan di benua Afrika itu kelak. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN GREECE)
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!