Terry kapten ‘de facto’ England

June 10, 2010 by  

JOHN Terry mungkin kehilangan gelaran selaku kapten England, tetapi dia melihat peranannya dalam skuad Fabio Capello itu masih terarah kepada peneraju pasukan.

“Ketika berjumpa pengurus, saya menegaskan kepadanya, saya menerima keputusan berkenaan tetapi dia tetap akan mendapat perwatakan sama daripada saya,” kata Terry mengenai keputusan Capello melucutkan peranannya sebagai kapten.

“Saya tidak akan membiarkan perasaan saya terganggu dan menyukarkan keadaan. Saya akan terus menjadi diri saya. Saya akan terus menyuarakan pendapat, dan memastikan kehadiran saya – di padang dan di bilik persalinan – dirasai.

“Seperti pemain lain, saya di sini untuk menjuarai Piala Dunia dan akan melakukan apa yang termampu, walaupun ia pendapat yang tidak kena mengena dengan bola sepak, saya tetap akan memperkatakan apa yang perlu.”

Capello melucutkan peranan kapten pasukan kebangsaan pemain pertahanan Chelsea itu selepas hubungan sulit Terry dengan model pakaian dalam, Vanessa Peroncel – ibu kepada anak rakan sepasukannya di dalam skuad England, Wayne Bridge – terbongkar.

Hasil pendedahan berkenaan, prestasi Terry sedikit tergugat tetapi dia kembali memuncak di penghujung musim menyebabkan Capello terpaksa menyenaraikannya semula ke dalam skuad kebangsaan England.

Dengan Rio Ferdinand yang sepatutnya menggantikan Terry tercedera, Steven Gerrard yang lebih pendiam akan memikul tugas kapten. Terry dijangka bergandingan dengan Ledley King dari Tottenham di barisan belakang ketika berdepan Amerika Syarikat Sabtu ini.

-Berita Harian

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!