Gerakan set-piece England ancaman buat Amerika

June 12, 2010 by  

PENGURUS England, Fabio Capello menyuarakan mesej jelas kepada pasukannya bahawa gerakan set-piece boleh menjadi penentu kemenangan atau kekalahan di Piala Dunia dan Amerika Syarikat nyata sudah bersedia untuk berdepan situasi itu.

Dengan memiliki pakar sepakan percuma Steven Gerrard dan Frank Lampard, pemain bahaya Wayne Rooney dan pemain tinggi lampai Peter Crouch serta kapten John Terry - pasukan Capello mampu mengancam dari posisi “bola mati”.

Penjaga gol Amerika Syarikat (AS) Tim Howard yang berdepan dengan cabaran itu ketika beraksi dalam Liga Perdana Inggeris di mana dia bermain bersama Everton mahu pemain pertahanan tidak banyak memberi peluang kepada gerakan set-piece pada perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang England awal pagi esok.

“Saya amat yakin jika anda memberikan pihak lawan sepakan percuma anda akan memberikan gol. Dalam bola sepak moden, saya tidak tahu mengenai statistik tapi saya tahu peluang besar jaringan boleh dilakukan menerusi set-piece,” katanya.

“Sudah pasti jika kami memberikan terlalu banyak sepakan percuma dan terlalu banyak sepakan percuma terus di sekitar kawasan kotak penalti serta sepakan penjuru, kami berkemungkinan akan menerima padah.

“Jadi adalah penting kami memantapkan barisan pertahanan, menutup setiap pergerakan dan tidak membiarkan pemain berdepan situasi satu lawan satu, kerana situasi itu kerap kali akan mengakibatkan kesalahan berlaku,” katanya.

“Bermain dengan bijak, kadang kala anda terpaksa memberi pasukan lawan sepakan penjuru namun diharap agar mereka gagal memanfaatkannya.”

Howard juga berkata, barisan kejurulatihan AS memberikan amaran kepada pemain-pemain supaya tidak bertelingkah dengan pegawai perlawanan yang boleh mengakibatkan kekecohan antara dua pasukan yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Tugas sebagai pengadil adalah sukar dan emosi kedua-dua pasukan di tahap tinggi, jadi kami diarahkan supaya mengawal emosi dan tidak mencetuskan perbalahan.

“Saya pasti kami akan memberikan aksi yang terbaik mengikut kemampuan kami. Saya tidak fikir semua akan mengikut 100 peratus seperti yang dirancang, namun kami sangat menghormati pengadil jadi tidak akan berlaku perkara yang tidak diingini sehingga tamat perlawanan,” katanya.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!