Amerika ujian sulung Capello di Piala Dunia
June 12, 2010 by admin
FABIO Capello yang baru berusia empat tahun ketika Amerika Syarikat menewaskan England pada Piala Dunia 1950 sedar jika keputusan sama berjaya diulangi pada aksi awal pagi esok, ia pasti akan menghadirkan satu lagi kejutan penuh sensasi.
Capello yang ketika itu membesar di Friuli, Itali yang bersempadan dengan Slovenia telah mendengar berita kemenangan 1-0 Amerika Syarikat ke atas England pada aksi di Belo Horizonte, Brazil daripada rakan-rakan dan keluarganya.
Kali ini, penampilan sulung Capello sebagai pengurus pasukan Piala Dunia pada usia 64 tahun menjadi tumpuan dunia untuk menyaksikan sama ada skuad bimbingannya, England akan sekali lagi tewas kepada Amerika Syarikat pada aksi sulung Kumpulan C di Stadium Royal Bafokeng itu.
Bagi pengendali yang cukup lengkap dengan kejayaan di peringkat kelab bersama AC Milan, Real Madrid, AS Roma dan Juventus itu, potensi untuk keputusan tersebut berulang tetap ada selepas Amerika Syarikat kini pada prestasi terbaik selepas mereka turut mengejutkan Sepanyol pada Piala Konfederasi 2009.
“Saya cukup faham bahawa ini merupakan detik yang sangat penting untuk negara ini (England) tetapi saya tetap tenang menghadapinya.
“Pasukan kami telah menunjukkan peningkatan dan kami juga memiliki semangat,” kata Capello.
Sejak membimbing England dan telah mengharungi 24 perlawanan bersama skuad tersebut, Capello berjaya mencatat 18 kemenangan tetapi dia sedar akibat yang akan diterimanya andai Amerika Syarikat berjaya mencatat kemenangan ketiga dalam 10 rekod pertemuan kedua-dua pasukan.
Sama seperti Capello, jurulatih Amerika Syarikat, Bob Bradley turut meletakkan keyakinan terhadap kemampuan anak-anak buahnya untuk menewaskan England awal pagi esok.
“Tunjang utama kami adalah kekuatan pasukan. Kami sedar apabila kami beraksi sebagai satu pasukan dan semua pemain mempamerkan komitmen yang tinggi, kami mampu menyaingi mana-mana pasukan hebat,” kata Bradley.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!