Prebiu: Denmark vs Jepun
June 24, 2010 by admin
PERTEMBUNGAN Jepun dan Denmark pada aksi terakhir Kumpulan E awal pagi esok cukup penting bagi menentukan siapa yang bakal mengiringi Belanda ke pusingan kedua Piala Dunia 2010.
Jepun akan mara biarpun mereka mencatat keputusan seri tatkala Denmark perlu menang untuk layak selepas kedua-dua pasukan itu terikat tiga mata tetapi Jepun memiliki kelebihan dengan perbezaan gol.
Belanda sudah pun layak dari Kumpulan E dengan enam mata manakala satu lagi pasukan, Cameroon tersingkir selepas mereka tewas kepada Denmark 1-2, awal pagi Ahad lalu.
Bagi jurulatih Denmark, Morten Olsen, dia menganggap pertemuan dengan Jepun di Stadium Royal Bafokeng awal pagi esok ibarat perlawanan akhir.
“Jepun dilihat memiliki barisan pertahanan yang cukup baik dalam dua perlawanan sebelum ini. Jadi saya akui memang sukar untuk kita menjaringkan gol apabila bertemu pasukan seperti ini.
“Ini perlawanan penentuan dan saya harap ia merupakan aksi final pertama bagi kami sebelum merasai aksi final sebenar. Kami tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Olsen.
Denmark bakal turun tanpa Nicklas Bendtner dengan Olsen memberitahu, penyerang itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha.
“Bendtner masih belum cukup cergas untuk aksi bertemu Jepun ini dan kami masih harap dapat menurunkannya jika kami mara lebih jauh,” jelas Olsen.
Sementara itu, ketua pasukan Jepun, Makoto Hasebe berkata, mereka perlu beraksi dengan lebih baik untuk mara ke pusingan kedua,
“Jurulatih (Takeshi Okada) beritahu, kami ada peluang yang sedikit untuk layak ke pusingan kedua. Jadi dia mahu kami bermain bermati-matian,” kata Hasebe.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!