Prebiu: Cameroon vs Denmark

June 19, 2010 by  

SELEPAS dikejutkan Jepun, pemain senior skuad Cameroon mahu jurulatih Paul Le Guen mengubah semula barisan kesebelasan yang akan diturunkan pada perlawanan menentang Denmark dalam Kumpulan E, awal pagi esok.

Cameroon tewas 1-0 kepada Jepun dan Denmark tewas 2-0 di tangan Belanda pada perlawanan pembukaan kumpulan Isnin lalu, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan kini terdesak memburu kemenangan di Stadium Loftus Versfeld pada perlawanan kedua itu.

Pemain Cameroon kurang senang dengan percaturan Le Guen yang berasal dari Perancis selepas menyisihkan beberapa pemain ternama mereka seperti Rigobert Song dan Geremi (pertahanan) serta pemain tengah Alexandre Song pada perlawanan menentang Jepun.

“Apa yang kami nampak dalam perlawanan terakhir adalah kami tidak bernasib baik, terlalu ramai pemain muda diperkenalkan sedangkan kami mempunyai pemain berpengalaman,” kata pemain tengah, Achille Emana kepada wartawan, kelmarin.

Cameroon, satu daripada enam pasukan Afrika dijangka mampu bermain dengan baik, tetapi peluang mereka kini makin getir.

Emana berkata, terlalu banyak yang dituntut daripada pemain muda.

“Mereka tidak mampu menyerap tekanan, terutamanya bermain dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia,” katanya.

“Perkara inilah yang membuatkan kami merayu pada jurulatih supaya merombak semula kesebelasan pemain utama ketika menentang Denmark.” Le Guen tidak bercakap kepada media sejak kekalahan pasukannya, Isnin lalu dan ketiadaannya di sidang media menjadi topik perbincangan.

Emana biasa beraksi sebagai penyerang tengah, hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, tetapi dia ternyata tidak gembira dengan peranan yang dimainkannya untuk memastikan keputusan terbaik buat pasukannya.

“Saya diarah lebih banyak bermain di posisi kanan. Saya perlu mengejar bola dari hujung padang. Itulah masalahnya, bagaimana anda boleh harapkan saya menjadi penyerang yang berkesan,” katanya.

Termasuk kekalahan Isnin lalu, Cameroon sudah menempuh lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan penyerang utama mereka, Samuel Eto’o memberitahu wartawan yang pasukan itu perlu terus percaya pada kemampuan mereka.

“Kami bermain dengan baik dari awal hingga ke akhir. Jepun hanya mempunyai satu peluang dan mereka menjaringkan gol. Kami perlu mengelak dari melakukan kesilapan seperti itu dan kami perlu menang ke atas Denmark.” Biarpun tewas kepada Belanda, Denmark sudah bersedia untuk mengekang Cameroon nanti.

Kebiasaannya, pasukan yang tewas akan berasa kurang yakin, tetapi penjaga gol Denmark, Thomas Sorensen berkata, pasukannya kini makin bersemangat.

“Inilah kelebihan pasukan kami,” katanya. “Kami mempunyai semangat sepasukan tinggi yang ada dalam setiap diri pemain. Satu kekalahan tidak akan menjatuhkan moral kami.” Denmark tidak pernah tewas kepada pasukan dari Afrika di Piala Dunia. Berdasarkan rekod, mereka mempunyai kelebihan selepas menang dua pertemuan, bagaimanapun masalah kecederaan yang dialami penyerang Jon Dahl Tomasson (pangkal paha) dan Mikkel Beckmann (jari kaki) mungkin menjejaskan persembahan mereka.

Denmark tidak menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan terakhir. Justeru, jurulatih Morten Olsen pasti mengharapkan penyerang Nicklas Bendtner yang hanya beraksi sejam pada perlawanan pertama menjaringkan gol, biarpun pemain itu masih mengalami masalah kecederaan paha.

Pemain pertahanan muda, Simon Kjaer mengalami kecederaan lutut dan pemain tengah, Daniel Jensen (tumit) sudah mula berlatih biarpun masih berasa sakit.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!