Cameroon pasukan pertama tersingkir
June 20, 2010 by admin
SEGALANYA sudah berakhir buat pasukan harapan benua Afrika, Cameroon walaupun saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2010 masih berbaki satu perlawanan.
Semuanya gara-gara tewas buat kali kedua berturut-turut. Dalam aksi menentang Denmark awal pagi tadi, Cameroon tewas 1-2 walaupun mendahului 1-0 seawal minit ke-10.
Kekalahan itu menyebabkan Cameroon terperosok ke tangga terbawah Kumpulan E tanpa memungut sebarang mata dan muncul pasukan pertama tersingkir dari kejohanan.
Pada perlawanan pertama 14 Jun lalu, Cameroon tewas tipis 1-0 kepada wakil dari Asia, Jepun menerusi jaringan tunggal Keisuke Honda.
Pencapaian yang agak buruk berbanding aksi dipamerkan ketika kejohanan Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun. Cameroon gagal melayakkan diri pada edisi 2006 di Jerman.
Dalam aksi di Pretoria awal pagi tadi, Cameroon bermula baik apabila berjaya mendahului menerusi jaringan penyerang berbisanya, Samuel Eto’o pada minit ke-10.
Namun Denmark segera bangkit untuk mengimbangi perlawanan menerusi jaringan bintang Arsenal, Nicklas Bendtner pada minit ke-33.
Ketika asakan bertubi-tubi Cameroon untuk mencipta jaringan kedua, Denmark sekali lagi berjaya membolosi gawang skuad bimbingan Paul Le Guen hasil jarinhgan Dennis Rommedahl pada minit ke-61.
Kemenangan itu membolehkan Denmark mencerah peluang untuk mengintai slot ke pusingan kedua selepas Belanda sudah mengesah tempat mereka ke peringkat 16 pasukan terakhir.
Manakala bagi Cameroon, perlawanan menentang Belanda Jumaat ini sekadar pelengkap jadual dan lebih kepada menjaga maruah pasukan dari Afrika.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!