Robinho ledak dua gol atasi Tanzania
June 9, 2010 by admin
BRAZIL yang beraksi dalam perlawanan pemanas badan bagi memudahkan usaha merangkul kejuaraan Piala Dunia kali keenam, tidak berdepan masalah menewaskan Tanzania 5-1 di Dar Es Salaam, kelmarin, dengan Robinho menjaringkan dua gol.
Robinho, yang menghabiskan separuh musim lalu bersama pasukan Santos selepas kurang berpuas hati dengan Manchester City, membuka tirai jaringan pada minit ke-10 dan menemui gawang sekali lagi pada minit ke-33.
Perancang Real Madrid, Kaka menjaringkan gol keempat selepas 76 minit - pemain bintang Benfica, Ramires menjadikan kedudukan 3-0 selepas rehat dan gol kelima untuk skuad Dunga itu pada masa kecederaan.
“Ada sesuatu yang tampak kurang. Tapi kami masih ada tempoh seminggu lagi sebelum perlawanan pembukaan dan harus dapat mengemaskan corak permainan kami,” kata Kaka yang hadir di gelanggang dengan kecederaan paha.
Pemain Tanzania, Aziz menanduk masuk gol sagu hati, empat minit sebelum permainan tamat buat pasukan tuan rumah yang menduduki ranking ke-108 dunia.
Perlawanan itu adalah pemanas badan terakhir Brazil selepas menewaskan Zimbabwe 3-0 minggu lalu. Pada pusingan akhir Afrika Selatan 2010, Brazil beraksi dalam Kumpulan G bersama-sama Korea Utara, Ivory Coast dan Portugal.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!