Prebiu: Brazil vs Ivory Coast
June 20, 2010 by admin
JURULATIH Brazil, Dunga bakal berdepan bekas mentornya, Sven-Goran Eriksson di tepi padang apabila juara dunia lima kali itu bertemu barisan harapan Afrika, Ivory Coast dalam perlawanan menarik Kumpulan G di Soccer City, awal pagi esok.
Eriksson, bekas jurulatih England dan Mexico, yang kini mengendali pasukan The Elephants, pernah melatih Dunga semusim di Fiorentina pada 1988-89, dan sudah melihat sifat kepimpinan Dunga yang berusia 25 tahun ketika itu.
“Saya cukup kenal dengannya (Dunga), saya yang membawanya masuk ke Fiorentina dan melatihnya selama setahun,” kata jurulatih dari Sweden itu. Sebagai pemain, dia tahu segala aspek taktikal bola sepak.
“Dia antara pemain bola sepak terbaik pernah saya latih, pengetahuannya luas dan dia sangat hebat bertahan mahu pun menyerang. Jadi saya tidak terkejut jika permainan mereka amat tersusun, bukan mudah untuk membolosi gawang mereka.”
Pada perlawanan itu nanti, pertahanan Brazil, Lucio sekali lagi diberi tanggungjawab mengekang pergerakan penyerang berbisa Ivory Coast, Didier Drogba yang bermain dengan memakai alat perlindungan siku yang dibenarkan.
“Drogba kurang menyerlah pada perlawanan pertama kerana Lucio beraksi cemerlang,” kata penjaga gol Brazil, Julio Cesar yang mewakili Inter Milan.
“Rembatannya hebat, begitu juga dengan tandukan dan dia mempunyai cara tersendiri meledak gol, jadi perlu diberi perhatian lebih.”
Brazil, yang dipaksa bekerja keras oleh Korea Utara sebelum menang 2-1 Selasa lalu, berharap pasukan dari Afrika itu akan bermain lebih terbuka. Sepanjang rekod pertemuan dengan negara Afrika di Piala Dunia, Brazil belum dibolosi dan menang semua perlawanan.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!