Maicon kunci kemenangan Brazil
June 16, 2010 by admin
PERTAHANAN kental Brazil, Maicon membuka ruang buat juara dunia lima kali itu ketika agak bergelut untuk menembusi benteng Korea Utara yang banyak bertahan dalam aksi Kumpulan G awal pagi tadi.
Maicon yang turut menjadi nadi kejayaan kelab Itali, Inter Milan menjulang gelaran Liga Juara Eropah musim ini menjaring gol dari sudut sukar untuk jaringan pembukaan Brazil pada minit ke-55. [VIDEO]
Bermula dengan hantaran tinggi Felipe Melo ke arah Elano yang terus mengumpan bola ke arah kanan dalam kawasan penalti, Maicon pantas mengejar sebelum terus merembat kencang ke arah gawang Korea Utara ketika pemain lawan menyangka dia akan melakukan hantaran silang ke arah rakan sepasukannya dalam kotak penalti.
Gol itu nyata membuka ruang buat Brazil untuk terus melancar serangan ke kubu Korea Utara, hasilnya satu lagi gol berjaya dicipta hasil gerakan menarik yang dicipta Robinho. Kali ini giliran Elano untuk menewaskan penjaga gol Korea Utara, Ri Myong Guk.
“Saya hanya menyasarkan ke arah gol dan melihat apa yang berlaku (selepas itu).
“Untuk menjaringkan gol dalam penampilan pertama di Piala Dunia tentunya suatu mimpi. Saya bukan beraksi semata-mata untuk menjaringkan gol, tapi sudah tentu saya gembira bila dapat menjaringkan gol,” kata Maicon meluahkan perasaannya.
Jaringan berkenaan merupakan gol kelima Maicon sepanjang 55 penampilan bersama skuad kebangsaan Brazil dan sudah tentu gol yang sangat diingatinya.
Ia hadir susulan musim cemerlang bersama Inter Milan merangkul gelaran treble pertama kelab Itali berkenaan.
Bersama Inter, Maicon memenangi gelaran liga Serie A serta Piala Itali bersama gelaran Liga Juara Eropah.
Persembahan cemerlangnya itu memberi kelebihan buat Maicon apabila diundi sebagai Pemain Terbaik perlawanan menentang berkenaan dan turut mendapat pujian jurulatihnya, Dunga.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!