Kad merah pertama dalam karier Kaka
June 23, 2010 by admin
SELEPAS menjadi mangsa pengadilan buruk, perancang utama Brazil, Kaka berkata, neneknya turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil yang melayangkan kad merah kepadanya ketika menentang Ivory Coast, kelmarin.
Kata Kaka, dia tidak sepatutnya dibuang padang di atas kesalahan yang tidak dilakukan, namun perkara itu akan dijadikan iktibar supaya lebih berhati-hati pada perlawanan akan datang.
Katanya, dia kini terpaksa “melindungi” dirinya sendiri di atas padang untuk mengelak daripada menjadi mangsa pengadil yang “kejam” pada Piala Dunia.
Malah katanya, dia tidak sanggup untuk mengulangi kata-kata yang keluar dari mulut neneknya. “Ia terlalu kasar tetapi kata-kata itu mewakili kemarahan dan rasa kecewa terhadap pengadil,” ujarnya.
Layangan kad merah itu menyebabkan Kaka terlepas perlawanan terakhir Kumpulan G menentang Portugal, Jumaat ini, sekali gus kempunan untuk menentang rakan sepasukan di Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
Kaka terkenal sebagai pemain yang lemah lembut di atas padang, malah tidak pernah menerima kad merah sepanjang karier bersama Brazil, namun nasibnya merubah apabila dibuang padang buat kali pertama selepas dikatakan mengkasari pemain Ivory Coast, Kader Keita.
Menjelaskan apa yang berlaku, bekas Pemain Terbaik Dunia itu berkata, dia langsung tidak melihat Keita ketika pemain Ivory Coast itu meluru ke arahnya.
Perlanggaran yang tidak disengajakan sebenarnya terlalu kecil, tetapi Keita jatuh tergolek di atas padang sambil mengerang kesakitan seolah-olah mengalami kecederaan yang serius.
Tingkah laku pemain itu jelas satu kesalahan, namun yang menanggung akibatnya adalah Kaka, apabila dia dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua, sekali gus terpaksa meninggalkan padang.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!