Dunga impi dikenang sebagai legenda

June 11, 2010 by  

JURULATIH Brazil, Dunga lebih meyakini kualiti berbanding ketaksuban kepada gaya permainan menarik dalam memburu kejuaraan Piala Dunia, tetapi rakan sepasukannya yang sama-sama merangkul piala pada 1994, Branco, bimbang dengan mutu pasukan itu di Afrika Selatan.

“Dari tengah ke barisan pertahanan, ini adalah pasukan terbaik di dunia,” kata Branco, walaupun ramai berpendapat Selecao yang menampilkan gaya bertahan, tampak tidak seperti pasukan Brazil.

“Saya sedikit risau dengan kreativiti barisan depan kerana ia adalah penentu kepada keputusan perlawanan memandangkan semua pasukan akan lebih bersungguh-sungguh ketika bertemu Brazil.

Dunga membentuk pasukan berdasarkan perwatakannya sendiri sebagai pertahanan kental dan diimbangi kemampuan menyerang, dalam usahanya mengulangi kejayaan Franz Beckenbauer yang merangkul Piala Dunia sebagai jurulatih dan pemain.

12 tahun lalu, Dunga menjulang piala berprestij itu sebagai kapten selepas menewaskan Itali menerusi penentuan penalti pada final yang mendebarkan.

Pada 1994, gawang Brazil hanya dibolosi tiga kali sepanjang kejohanan dan ini menyokong keyakinan Dunga untuk kesekian kalinya, pihak lawan tidak boleh sesekali melepasi benteng pertahanan – walaupun ia membuatkan peminat “jogo bonito” (permainan bergaya) naik angin.

Barisan tengah tampak mempunyai kreativiti dengan Kaka menjanjikan persembahan sepenuh hati walaupun musim pertamanya dengan Real Madrid kurang menjadi. Robinho juga menjadi sandaran Dunga menembusi kubu lawan.

Keberkesanan percaturan Dunga hanya akan terbukti pada perlawanan pembukaan Brazil bertemu Korea Utara Selasa depan, sebelum bertemu Portugal dan Ivory Coast untuk baki saingan Kumpulan G.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!