Brazil mudah atasi Tanzania

June 9, 2010 by  

BRAZIL melengkapkan aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia 2010 dengan cemerlang selepas membelasah Tanzania 5-1 kelmarin.

Robinho dan Ramires muncul wira Brazil apabila masing-masing meledakkan dua gol manakala satu gol lagi dijaringkan perancang Real Madrid, Kaka.

Robinho menyumbat gol pertama pada minit ke-10 dan menambah gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-33 pada pertemuan di Stadium Kebangsaan Dar Es Salaam itu.

Perancang gantian, Ramires menjaringkan gol sulung buat Brazil pada minit ke-53 dan menambah satu gol lagi pada masa kecederaan manakala gol Kaka hadir pada minit ke-76.

“Masih ada sesuatu yang kurang. Tetapi kami masih ada masa seminggu sebelum aksi pembukaan dan kami akan berusaha memperbaiki permainan kami,” kata Kaka yang baru pulih dari kecederaan paha.

Sementara itu, gol tunggal Tanzania dijaringkan Jabir Aziz pada minit ke-86.

Ini adalah gol pertama yang dilepaskan Brazil dalam lima perlawanan sejak tewas 1-2 kepada Bolivia pada kempen kelayakan Piala Dunia, Oktober lepas.

Jurulatih Dunga menurunkan semua pemain utama kecuali penjaga gol, Julio Cesar yang masih dirawat ekoran kecederaan belakang.

Julio Cesar yang digantikan penjaga gol Tottenham, Huerelho Gomes, tidak pernah terlepas walau satu perlawanan mewakili Brazil sejak dua tahun lalu dan telah bermain 26 perlawanan berturut-turut.

Brazil diundi dalam Kumpulan G dan akan memulakan kempen Piala Dunia ini dengan menentang Korea Utara pada 15 Jun sebelum berdepan Ivory Coast pada 20 Jun dan Portugal lima hari kemudian.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!