Prebiu: Cameroon vs Belanda

June 24, 2010 by  

MESKIPUN menjadi pasukan pertama melayakkan diri ke pusingan kedua, Belanda tetap menurunkan barisan terbaiknya apabila menentang negara yang sudah tersingkir, Cameroon pada perlawanan terakhir Kumpulan E, awal pagi esok.

“Saya tidak akan membuat banyak perubahan kerana saya mahu mengekalkan rentak permainan pasukan, lagipun ini adalah peluang terbaik untuk menguji kecergasan pemain.

“Piala Dunia adalah kejohanan besar, kami tidak akan mengambil mudah sebarang perlawanan. Kami akan mengerah tenaga hingga ke saingan terakhir,” kata jurulatih Belanda, Bert van Marwijk.

Selepas mencatat dua kemenangan; mengalahkan Denmark 2-0 dan Jepun 1-0, Belanda kini menghuni tangga teratas kumpulan.

Sementara itu, Robben ketika ditanya peluangnya untuk beraksi dalam perlawanan pertama berkata, ia semakin hampir.

“Tiada apa yang mustahil dan saya sentiasa bersedia. Keadaan saya semakin baik, barang kali ini peluang terbaik untuk beraksi,” kata pemain itu.

Bagi jurulatih Cameroon, Paul Le Guen, pasukannya akan memberi tentangan habis-habisan untuk menebus maruah yang tercalar.

Ketua pasukan, Samuel Eto’o akan membuat kemunculan terakhir, manakala Alexandre Song, Geremi dan Achille Emana kembali dipanggil beraksi.

“Kami tidak mahu bertanding dalam kejohanan besar dan balik tanpa sebarang mata, itu bukan semangat Cameroon.

“Sekali pun sudah tersingkir, kami tidak mahu menamatkan saingan sebagai yang terburuk. Kami masih ghairah untuk mencari kemenangan,” ujar penjaga gol Cameroon, Hamidou Souleymanou.

***

BUAT pertama kali, Arjen Robben dijangka tampil kali pertama pada Piala Dunia 2010 tatkala Samuel Eto’o pula beraksi dalam perlawanan terakhirnya apabila Belanda bertemu Cameroon awal pagi esok.

Dengan Belanda sudahpun sah layak ke pusingan kedua dari Kumpulan E manakala Cameroon telah tersingkir, pertemuan itu bakal menyaksikan sama ada skuad Oranje mampu mengekalkan rekod bersih dalam tiga perlawanan kumpulan.

Sekalipun menang dalam dua pertemuan sebelum ini, Belanda dilihat masih gagal mempamerkan aksi menyakinkan seperti yang dilakukan Argentina, Brazil dan Portugal.

Robben mungkin mampu mengubah keadaan tersebut tetapi bintang Bayern Munich itu masih belum pasti diturunkan pada aksi di Stadium Green Point, Cape Town.

“Ada kemungkinan saya akan mendapat peluang beraksi menentang Cameroon,” kata Robben.

Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk memberitahu, dia tidak terlalu mahu memikirkan tentang permainan tidak menarik yang ditampilkan anak-anak buahnya sebelum ini.

Keputusan seri pada aksi terakhir awal pagi esok sebenarnya sudah cukup untuk Belanda muncul juara Kumpulan E dan mereka akan berdepan naib juara Kumpulan F sama ada Itali, Paraguay, Slovakia atau New Zealand.

“Memang kami masih belum beraksi dengan cantik. Penyokong dan pakar bola sepak turut mengatakan kami sepatutnya melakukan yang lebih baik,” akui pemain pertahanan Belanda, Joris Mathijsen.

Apa yang pasti, kehadiran semula Robben diharap dapat memberi dimensi baru kepada corak permainan Belanda.

Jika Robben diturunkan awal pagi esok, ia bakal menyaksikan buat pertama kali Belanda dapat menggandingkan empat tonggak utama mereka di bahagian tengah dan serangan iaitu Robben, Wesley Sneijder, Rafael van der Vaart dan Robin van Persie.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!