Prebiu: Belanda vs Slovakia

June 28, 2010 by  

BELANDA yang dilihat mempunyai corak permainan lebih kukuh dan memiliki persembahan keseluruhan yang bergaya sepanjang Piala Dunia 2010, mahu menyekat kemaraan Slovakia.

Pasukan bimbingan Bert van Marwijk itu pastinya akan berasa puas jika berjaya menundukkan kuasa besar bola sepak, Slovakia sekali gus melayakkan diri ke saingan suku akhir.

Belanda memulakan aksi baik di peringkat kumpulan dan diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara di bumi Afrika Selatan. Namun begitu, skuad itu bakal berhadapan ujian sebenar apabila bertemu Slovakia di Durban, malam ini.

Tiada apa yang boleh dijadikan sebagai jaminan buat Belanda untuk pertembungan menentang Slovakia itu.

Kejayaan Slovakia menundukkan Itali 3-2 di peringkat kumpulan, sudah cukup untuk membuktikan mereka sebuah pasukan yang mantap.

Malah kekalahan tersebut telah membuatkan pasukan penyandang Piala Dunia itu berputih mata dan pulang awal ke tanah air.

Persembahan mengagumkan Slovakia di kejohanan kali ini turut diperkuatkan dengan aksi cemerlang penyerang utamanya, Robert Vittek.

Dia menjaringkan tiga gol pada pusingan akhir Piala Dunia, sekali gus meletakkan namanya dalam kelompok penjaring terbanyak sehingga kini.

Nama Vittek kini sebaris dengan penyerang Sepanyol, David Villa; penyerang Argentina, Gonzalo Higuain serta Luis Suarez dari Uruguay.

“Slovakia telah melaksanakan tugas dengan sempurna. Anda pastinya tidak akan menang begitu sahaja apabila menentang Itali,” kata pemain pertahanan Belanda, John Heitinga.

Beberapa petanda baharu yang ditunjukkan oleh Belanda iaitu pada perlawanan terakhir mereka di peringkat kumpulan.

Pasukan yang terkenal dengan warna jingga itu dilihat telah menukar corak menyerang dengan hantaran-hantaran pantas dan melarikan bola.

Corak permainan tersebut seakan mahu dipraktikkan dan mula menunjukkan perkembangan positif.

Jaringan pembukaan yang dihasilkan oleh Robin van Persie ketika membantu Belanda mencatat kemenangan 2-1 ke atas Cameroon adalah salah satu contoh terbaik.

Penyerang Arsenal itu melakukan permainan satu dua dengan Rafael van der Vaart dan Dirk Kuyt, sebelum dia menyumbat gol pembukaan yang menarik.

Get the Flash Player to see this content.

*****

PENYERANG Belanda, Dirk Kuyt percaya pasukan itu akan dikritik hebat jika mengambil mudah pesaing mereka, Slovakia dalam perlawanan pusingan kedua Piala Dunia.

Kejayaan Slovakia menewaskan juara bertahan Itali Khamis lalu, sudah cukup untuk memberi amaran kepada Belanda, bahawa perlawanan hari ini tidaklah semudah seperti yang dijangkakan.

Walaupun Belanda dan Argentina merupakan dua pasukan yang memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan, skuad Oranje belum mempamerkan aksi yang mempesonakan dan bertekad untuk bermain dengan taktik selamat.

“Pasukan ini dikritik hebat oleh penyokong sendiri kerana mereka sepatutnya boleh beraksi dengan lebih bagus dan perlu menjadi lebih baik.

“Kami hanya melakukannya satu demi satu dan apabila kami menghadapi hari yang hambar, kami kembali pada organisasi dan terus terselamat,” jelas Kuyt.

Sementara itu, pemain sayap Arjen Robben, membawa kesan segera selepas kembali beraksi sebagai pemain gantian dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan, ketika Belanda berjaya menewaskan Cameroon.

Ia memberikan jurulatih Bert van Marwijk skuad penuh untuk berhadapan dengan Slovakia, walaupun Robben dilihat akan bermula di bangku simpanan.

Dalam pada itu, Slovakia tahu mereka perlu mempamerkan aksi yang lebih hebat untuk memasuki kelompok lapan pasukan terbaik.

“Kami tidak akan memperoleh apa-apa jika tewas. Belanda adalah pasukan pilihan dan kami hanya mahu melakukan sama seperti yang kami lakukan ketika menentang Itali,” kata pemain pertahanan, Peter Pekarik.

Jurulatih Vladimir Weiss dilihat akan mengekalkan kesebelasan utama ketika menentang Itali termasuk Miroslav Stoch dan Juraj Kucka yang telah mengubah pasukan setelah tewas 0-2 di tangan Paraguay.

Comments

One Response to “Prebiu: Belanda vs Slovakia”

  1. mohd.as"ri yusoff on June 29th, 2010 4:44 am

    brazil memang sukar di tandingi..mereka kini berada dinpuncak prestasi..hanya pasukan yang menpunyai keajaiban dapat menewaskan mereka..

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!