Robben, Sneijder wira Belanda
June 29, 2010 by admin
ARJEN Robben dan Wesley Sneijder masing-masing menjaringkan satu gol pada setiap babak membantu Belanda layak ke suku akhir Piala Dunia selepas menewaskan Slovakia 2-1 pada aksi pusingan kedua, malam tadi. [VIDEO GOL]
Kemenangan ke atas pasukan bukan pilihan yang menyingkirkan juara bertahan, Itali dalam peringkat kumpulan itu membolehkan skuad Oranje mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 23 perlawanan antarabangsa dan kini bakal berentap dengan Brazil untuk merebut satu tiket ke separuh akhir, Jumaat ini.
“Hari ini adalah hari yang sungguh indah. Jika anda di Piala Dunia, ia harus menggembirakan. Kami gagal beraksi baik hari ini (malam tadi) tetapi apa lebih penting kami layak ke suku akhir,” kata Robben.
“Saya juga beraksi buat pertama kali dalam kesebelasan pasukan selepas tiga minggu cedera. Ia bukan masa yang terlalu lama. Hari ini saya berasa baik tetapi bukan 100 peratus, tetapi saya gembira.”
Robben menjaringkan gol pendahuluan apabila melakukan gerakan solo menarik pada minit ke-18 sebelum merembat masuk dari jarak 20 meter melepasi jangkauan penjaga gol, Jan Mucha.
Sneijder kemudian mengukuhkan kedudukan Belanda dengan merembat masuk hantaran cantik penyerang Liverpool, Dirk Kuyt pada minit ke-84 sebelum Robert Vittek menghadiahkan gol sagu hati buat Slovakia dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir permainan.
Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk menghamburkan pujian ke atas kecekapan penjaga gol Maarten Stekelenburg yang menyelamatkan percubaan bahaya lawan pada minit ke-67.
“Maarten menyelamatkan kami pada saat genting,” katanya.
.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!