Prebiu: Ghana vs Australia

June 19, 2010 by  

GHANA mengharapkan kegembiraan lebih daripada sambutan hari jadi malam ini apabila memburu tempat ke pusingan kedua Piala Dunia dengan mencipta kemenangan ke atas Australia dalam aksi Kumpulan D.

Selepas penjaga gol Richard Kingson meraikan hari jadi ke-32, Ahad lalu dengan mempamerkan persembahan cemerlang bagi membantu skuad Black Stars menewaskan Serbia 1-0 pada perlawanan pertama, giliran pemain pertahanan John Pantsil pula menyambut hari jadi ke-29, Selasa ini.

Kejayaan skuad Afrika itu diraikan dengan berparti bersama staf hotel, menikmati kek dan pelbagai makanan sebelum jurulatih Milovan Rajevac mengingatkan pasukannya supaya kembali memberi tumpuan.

Beliau sedar Ghana mempunyai peluang terbaik untuk menjadi wakil Afrika paling berjaya di benua sendiri dan sekurang-kurangnya mengulangi kejayaan Cameroon (1990) dan Senegal (2002) yang mara ke suku akhir.

Namun untuk merealisasikan impian itu, mereka terlebih dulu harus mengatasi pasukan Australia yang dibelasah Jerman 4-0 serta kehilangan tonggak bahagian tengah Tim Cahill akibat penggantungan perlawanan selepas dibuang padang.

Jika ia berjaya dilakukan, pasukan itu bakal menempah pertembungan pada pusingan kedua di Rustenburg dengan menentang juara Kumpulan C di antara Slovenia, England, Algeria atau Amerika Syarikat dengan andaian Jerman muncul juara Kumpulan D.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Australia bukan sesuatu yang mudah memandangkan Ghana hanya menewaskan mereka sekali dalam enam pertemuan sebelum ini.

Jurulatih Ghana dari Serbia, Milovan Rajevac memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak cepat berpuas hati.

“Ini peluang terakhir Australia. Mereka negara amat kompetitif dan saya pasti mereka akan memberi tentangan. Prestasi ketika menentang Jerman bukan gambaran sebenar kemampuan mereka,” katanya.

Rajevac dijangka tidak merombak skuadnya walaupun mungkin menimbangkan untuk menurunkan kapten Stephen Appiah dalam skuad yang dibentuk daripada dua generasi hebat pemain Ghana.

Skuad 2001 pernah mara ke final Piala Remaja Dunia manakala barisan pemain terbaru menjulang trofi Bawah 20 di Mesir pada 2009.

Sementara itu, jurulatih Australia kelahiran Belanda, Pim Verbeek harus menepis tohmahan dan meningkatkan keyakinan pemain minggu ini. Beliau mungkin membawa masuk Harry Kewell yang baru pulih daripada kecederaan panjang bagi menggantikan tempat Cahill dan memilih Mark Bresciano serta Josh Kennedy yang kembali cergas.

Kewell, 31, dianggap pemain terbaik Australia walaupun tidak sehebat Cahill, menolak tuduhan timbul pergolakan dalam pasukannya.

“Kami tidak mempamerkan permainan baik ketika menentang Jerman, tapi masih ada dua baki perlawanan dan apa saja boleh berlaku dalam Piala Dunia. Kami semua kecewa dengan keputusan perlawanan itu, tapi kami perlu hadapinya,” katanya.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!