Prebiu: Australia vs Serbia
June 23, 2010 by admin
AUSTRALIA dan Serbia membuat perhitungan pada perlawanan terakhir Kumpulan D, ketika kedua-duanya mencongak peluang untuk layak ke pusingan kedua, awal pagi esok.
Selepas melalui detik sukar pada perlawanan pembukaan, Serbia mendapat rentak pada perlawanan kedua, dengan mengejutkan Jerman 1-0.
Australia pula mengikat Ghana 1-1 walaupun bermain dengan 10 pemain.
Jika Ghana menang, Soccerroos berpeluang layak ke pusingan kedua.
Australia memerlukan jurang gol yang besar, seandainya Jerman menang ke atas pasukan dari benua Afrika itu dalam satu lagi aksi Kumpulan D.
Sebaliknya, Serbia boleh mengesahkan laluan ke pusingan kedua jika menang dan seri sudah memadai, seandainya Ghana menang.
Persiapan Australia untuk perlawanan esok terjejas, selepas kehilangan dua pemain penting, Harry Kewell, yang dikenakan kad merah pada perlawanan dengan Ghana.
Pertahanan berpengalaman, Craig Moore juga tidak dapat beraksi kerana menerima dua kad kuning, menyebabkan dia digantung satu perlawanan.
‘‘Australia mempunyai pemain simpanan berkualiti, namun ketiadaan dua pemain itu mungkin memberikan kesan, kami akan cuba mengambil kesempatan,” kata ketua pasukan Serbia, Dejan Stankovic.
Namun, berita baik buat Australia adalah pemain tengah, Tim Cahill dibenarkan bermain, selepas menjalani penggantungan satu perlawanan.
Serbia mungkin boleh bergantung harap kepada beberapa pemain ternama di Eropah seperti Nemanja Vidic, yang merupakan tonggak Manchester United dan pemain Chelsea, Branislav Ivanovic.
“Falsafah saya ialah tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja. Dalam mendapatkan kejayaan, semangat berpasukan amat penting. Setiap individu memberikan sesuatu kepada pasukan,” kata jurulatih Serbia, Radomir Antic.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!