Australia malang kali kedua
June 20, 2010 by admin
JIKA ada anugerah pasukan paling malang, sudah tentu Australia pasukan yang paling layak menerimanya selepas beraksi dengan 10 pemain dalam dua perlawanan berturut-turut.
Selepas mengharungi dua perlawanan peringkat kumpulan, Australia terpaksa menghabiskan baki kedua-dua perlawanan berkenaan dengan 10 orang pemain gara-gara layangan kad merah.
Apa yang menarik dalam perlawanan berkenaan, kedua-dua pemain terlibat iaitu Tim Cahill dan Harry Kewell menerima kad merah secara langsung yang mengakibatkan penggantungan dua perlawanan.
Dalam aksi menentang Jerman, pemain tengah Australia, Tim Cahill dilayang kad merah selepas mengasari Bastian Schweinsteiger manakala dalam perlawanan kedua menentang Ghana malam tadi, Harry Kewell pula menerima kad merah kerana didakwa menampan bola tendangan Jonathan Mensah dengan tangan di atas garisan gol.
Namun aksi menentang Ghana lebih perit buat Australia kerana ketika itu mereka mendahului pasukan dari Afrika berkenaan 1-0. Akibat insiden berkenaan, Australia bukan sahaja kehilangan seorang pemain dalam tempoh lebih sejam permainan malah pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Asamoah Gyan.
Akibatnya Australia kehilangan tiga mata penting dan harapan mereka untuk mara ke pusingan kedua berdepan ranjau dan perlu menewaskan Serbia dengan jaringan besar dalam perlawanan terakhir, 24 Jun nanti.
Perkhabaran terbaru mungkin agak melegakan buat kem Australia apabila FIFA menarik balik penggantungan dua perlawanan ke atas Tim Cahill sebaliknya pemain itu hanya digantung satu perlawanan.
Ini bermakna Tim Cahill dibenarkan beraksi dalam perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Serbia.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!