Kontroversi: FIFA tegas enggan guna teknologi

June 28, 2010 by  

FIFA enggan mengulas berhubung kesilapan pegawai perlawanan yang menafikan England gol penyamaan dalam kekalahan 4-1 kepada Jerman pada perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 2010 malam tadi. [LIHAT VIDEO]

“FIFA tidak akan mengulas keputusan pengadil di padang permainan,” menurut kenyataan badan bola sepak dunia itu.

Ia menyatakan panel pembuat keputusan - Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa - bersetuju Mac lalu untuk tidak melaksanakan ujian dengan teknologi yang dapat membantu pengadil membuat keputusan.

England percaya ia memperoleh gol apabila rembatan Frank Lampard terkena palang gol dan melantun masuk sebelum melantun ke palang sekali lagi.

Pengadil Uruguay, Jorge Larrionda, mengarahkan permainan diteruskan tetapi ulang tayang televisyen menunjukkan bola jelas sudah melepasi garisan gol.

Gol itu sepatutnya menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-38 di Bloemfontein.

Pada perlawanan lain kemudiannya, pegawai perlawanan melakukan satu lagi kesilapan apabila membenarkan gol pertama Argentina dalam perlawanan menentang Mexico. Argentina akhirnya menang 3-1 di Soccer City. [LIHAT VIDEO]

Ulang tayang menunjukkan Carlos Tevez dalam kedudukan ofsaid dengan tiada pemain pertahanan di antara beliau dan gawang apabila beliau menanduk masuk pintu gol yang ternga-nga hasil umpanan Lionel Messi pada minit ke-26.

Pengadil Itali, Roberto Rosetti, membenarkan gol itu selepas berbincang dengan pembantunya ketika pemain Mexico mengelilingi mereka untuk membantah.

Presiden FIFA, Sepp Blatter, yang hadir menyaksikan kedua-dua perlawanan itu, tidak bersetuju dengan penggunaan video dan teknologi garisan gol dengan alasan ia terlalu mahal untuk dilaksanakan di seluruh dunia dan mengganggu kelancaran permainan.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!