Higuain pahat nama penjaring hatrik pertama
June 18, 2010 by admin
GONZALO Higuain bukan saja mencatat nama sebagai penjaring hatrik pertama Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, bahkan ia juga adalah hatrik pertama sejak kali terakhir dilakukan pada temasya Piala Dunia edisi 2002.
Higuain yang beraksi dengan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid menjaring tiga gol dalam aksi Kumpulan B menentang Korea Selatan di Stadium Soccer City, Johannesburg, malam tadi.
Penjaring hatrik terakhir pada saingan Piala Dunia sebelum ini ialah penyerang Portugal, Pedro Pauleta ketika membantu negaranya membenam Poland 4-0 dalam saingan peringkat kumpulan pada 10 Jun 2002. Satu lagi gol Portugal pada perlawanan berkenaan dijaringkan oleh Rui Costa.
Dalam aksi menentang Korea Selatan, Higuain menjaring gol pertamanya menerusi tandukan pada minit ke-33 untuk Argentina mendahului 2-0 selepas pemain Korea Selatan, Park Chu-young tertolak masuk bola ke gawang sendiri untuk gol pertama buat skuad bimbingan Diego Maradona itu.
Gol kedua Higuain agak mudah apabila dia menolak masuk bola percubaan Lionel Messi yang melantun selepas terkena tiang gol pada minit ke-76.
Higuain melengkapkan hatrik empat minit kemudian menerusi satu lagi tandukan menarik menewaskan penjaga gol Korea Selatan, Jung Sung-ryong untuk memastikan kemenangan bergaya 4-1 buat Argentina sekali gus mendahului Kumpulan B dengan enam mata.
Ketika dikeluarkan pada minit ke-82 untuk digantikan dengan Mario Bolatti, Higuain menerima tepukan gemuruh daripada lebih 80,000 penonton yang menyaksikan perlawanan itu di Stadium Soccer City, Johannesburg.
Begitu pun Higuain agak merendah diri apabila meminta penyokong memberi tepukan kepada Lionel Messi kerana bertanggungjawab menyumbang kepada semua gol yang dijaringkannya.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!