Pentas Amerika Selatan
June 30, 2010 by admin
TAMAT sudah fasa pertama peringkat kalah mati dengan lapan pasukan meneruskan cabaran masing-masing untuk merebut tiket ke kelompok empat pasukan terakhir seterusnya layak ke aksi final Piala Dunia 2010 di Johannesburg, 12 Julai nanti.
Paling menarik ialah daripada lapan pasukan yang layak ke suku akhir, empat daripadanya adalah wakil dari Amerika Selatan setelah kesemua lima pasukan dari benua itu mara ke pusingan kedua.
Satu-satunya pasukan yang gagal ke kelompok lapan pasukan terbaik ialah Chile yang agak tidak bernasib baik kerana terpaksa bertemu juara lima kali, juga dari Amerika Selatan, Brazil.
Sama ada jangkaan ramai tepat atau tidak, namun dua pasukan gergasi Amerika Selatan, Brazil dan Argentina kini semakin menghampiri final impian Piala Dunia majoriti peminat bola sepak.
Begitupun lawan yang dihadapi Brazil dan Argentina di suku akhir nanti bukan calang-calang pasukan.
Brazil akan berdepan Belanda - pasukan yang dikalahkannya pada saingan separuh akhir Piala Dunia 1998 di Perancis - pada aksi suku akhir pertama di Stadium Nelson Mandela Bay, Port Elizabeth, Jumaat ini (2 Julai).
Sementara Argentina mengulangi pertemuan suku akhir Piala Dunia 2006 apabila dijadualkan menentang juara tiga kali, Jerman pada aksi suku akhir ketiga di Stadium Green Point, Cape Town, Sabtu nanti (3 Julai).
Dua lagi pasukan, Uruguay - berdepan wakil tunggal Afrika, Ghana - dan Paraguay - menggalas tugas getir bertemu juara Eropah, Sepanyol - melengkapkan empat pasukan Amerika Selatan di suku akhir dan berdepan prospek berdepan sesama sendiri di kelompok empat pasukan terakhir jika menewaskan lawan masing-masing.
Dengan edisi Piala Dunia seterusnya akan berlangsung di Brazil, pasukan Amerika Selatan sudah bersedia untuk berpesta lebih awal di Afrika Selatan.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!