Profil Pasukan: Amerika Syarikat

June 9, 2010 by  

SEPERTI diduga, Amerika Syarikat layak ke Piala Dunia Afrika Selatan dengan bergaya apabila muncul juara di kalangan enam pasukan dalam kumpulan membabitkan pasukan daripada Amerika Utara, Amerika Tengah dan Zon Caribbean (CONCACAF).

Di bawah bimbingan jurulatih Bob Bradley, pasukan yang mempunyai gandingan pemain lama dan baru ini sentiasa di hadapan sepanjang pusingan kelayakan.

Kejayaan muncul naib juara Piala Konfederasi FIFA di Afrika Selatan tahun lalu selepas tewas aksi final kepada Brazil sudah tentu menyuntik semangat mereka di laman sama kelak.

Dengan kebanyakan pemain sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam liga Eropah, Amerika Syarikat tidak boleh dipandang remeh kerana mereka mampu membuat kejutan besar andai lawan memandang ringan.

Sepanyol - juara EURO 2008 - jelas belajar daripada hakikat itu apabila mereka tewas kepada Amerika Syarikat dalam Piala Konfederasi 2009, membuka laluan buat Amerika ke pentas final sebelum tewas 2-3 kepada Brazil.

Bintang seperti Landon Donovan yang beraksi untuk Everton dalam Liga Perdana Inggeris dijangka mampu menjana kejayaan pasukan tetapi kekuatan Amerika berkisar kepada semangat berpasukan yang tinggi.

Ada ramuan untuk muncul juara antara dua pasukan yang layak ke pusingan berikutnya. Pencapaian terbaik Amerika Syarikat adalah di Uruguay pada 1930 apabila mereka layak ke peringkat separuh akhir. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN AMERIKA SYARIKAT)

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!