Amerika mahu elak tragedi 2006
June 26, 2010 by admin
MENJELANG saingan pusingan kedua Piala Dunia bermula malam ini, jurulatih Bob Bradley dan pasukan Amerika Syarikat (AS) memburu tempat ke suku akhir, sekali gus membalas dendam ketika bertemu Ghana awal pagi esok.
Selepas menjuarai Kumpulan C menerusi jaringan Landon Donovan ketika AS menang ke atas Algeria di Pretoria, Rabu lalu, AS kini berharap mampu menewaskan satu-satunya wakil benua Afrika itu di pusingan kedua.
AS pernah ke suku akhir Piala Dunia 2002 sebelum ditewaskan Jerman 1-0, manakala pada 1930, mereka melangkah ke separuh akhir tapi dihalang Argentina yang menang 6-1.
Bagaimanapun, kekalahan 2-1 kepada Ghana di Nuremburg empat tahun lalu menjadi perkiraan dan kini mereka sudah bersedia untuk bertemu ‘Black Stars’ di Stadium Royal Bafokeng.
Beberapa pemain 2006 masih berada dalam skuad Bradley seperti Oguchi Onyewu, Steve Cherundolo, Clint Dempsey, DaMarcus Beasley dan Donovan berada dalam kesebelasan utama menentang Ghana.
Pertemuan ini adalah peluang terbaik buat pemain Bradley memadam episod duka dengan kekalahan kontroversi yang terpaksa diputuskan menerusi penentuan penalti.
“Kami berdepan Ghana dan umpama perlawanan ulangan 2006 - jadi bagi saya ini peluang terbaik kami. Kami pernah menyaksikan permainan Ghana dan mereka amat berbakat,” kata Bradley.
“Mereka sangat kuat. Kami perlu melakukan kerja sempurna dari segi kesungguhan dan disiplin kerana mereka sebuah pasukan berbakat.” Berbekalkan pemain yang cergas sepenuhnya, skuad itu juga gembira kerana dapat terus beraksi di Rustenburg, tempat mereka mengikat England 1-1 pada perlawanan pembukaan 12 Jun lalu.
“Perkara istimewa buat kami hari ini adalah ketika menaiki bas menuju ke stadium, kami melihat ramai peminat AS berbaris di tepi jalan memberi sokongan.
“Orang ramai mengibarkan bendera, menepuk bas, memakai baju merah, putih dan biru serta mewarnakan wajah. Kami mendapat lebih semangat. Kami rasa amat istimewa,” katanya.
Kejutan dilakar AS sememangnya dijangka tapi Ghana agak berbeza kerana jurulatih Milovan Rajevac terpaksa memanggil pemainnya berkumpul selepas mengetahui mereka mara berdasarkan perbezaan gol biarpun tewas kepada Jerman.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!