Tshabalala jaring gol pertama Piala Dunia 2010
June 12, 2010 by admin
KETIKA tumpuan bagi perlawanan Afrika Selatan menentang Mexico terarah ke arah bintang Everton, Steven Pienaar, namun aksi Siphiwe Tshabalala pada perlawanan pembuka tirai kejohanan Piala Dunia 2010 itu lebih mencuri tumpuan.
Jaringan sulung Tshabalala pada minit ke-55 hampir menghadiahkan kemenangan buat pasukan tuan rumah, Afrika Selatan pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Soccer City malam tadi.
Aksi mantap Tshabalala membolehkannya dinobat selaku pemain terbaik perlawanan berkenaan.
Rafael Marquez menafikan hasrat Afrika Selatan untuk memungut mata penuh apabila menjaringkan gol penyamaan Mexico untuk membolehkan aksi Kumpulan A itu berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Biarpun Afrika Selatan dinafikan tiga mata penuh, kemeriahan tetap dirasai pada hari pertama kejohanan berprestij itu dengan 85,000 penonton yang membanjiri stadium membingitkan suasana dengan meniup ‘vuvuzela’ sepanjang perlawanan.
Babak awal permainan menyaksikan Mexico lebih menguasai bola tatkala Afrika Selatan seakan-akan gemuruh menyerap tekanan beraksi pada perlawanan pembuka tirai itu.
Mexico berjaya menggegar gawang Afrika Selatan pada minit ke-37 tetapi jaringan Carlos Vela itu dibatalkan pengadil kerana dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Hanya pada penghujung separuh masa pertama, Afrika Selatan mula menemui rentak permainan sebelum mereka memulakan babak kedua dengan langkah lebih yakin.
Hasilnya Afrika Selatan berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-55 menerusi ledakan kencang kaki kiri Tshabalala yang tepat menuju penjuru kanan gawang Mexico tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Oscar Perez.
Namun, Mexico berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79 selepas Marquez memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan tuan rumah dan dengan tenang merembat masuk menewaskan Itumeleng Khune.
[...] => KLIK => [...]