Parreira catat rekod Piala Dunia
June 12, 2010 by admin
CARLOS Alberto Parreira dari Brazil menjadi jurulatih perama untuk membuat kemunculan dalam enam edisi Piala Dunia apabila Afrika Selatan menentang Mexico dalam perlawanan pembukaan, malam tadi.
Pada usia 67 tahun, beliau mengatasi Bora Milutinovic dari Serbia, yang dua tahun lebih muda daripadanya, dengan masing-masing sebelum ini mengemudi lima negara pada kejohanan empat tahun sekali itu.
Parreira sebelum ini menjadi jurulatih Kuwait pada 1982, Emiriyah Arab Bersatu (1990), Brazil (1994 dan 2006) dan Arab Saudi (1998) dengan kejayaan menjulang Piala Dunia adalah kemuncak pembabitannya manakala pemecatannya pula adalah detik hitam kerjayanya.
Beliau merencana kejayaan Brazil di Amerika Syarikat pada 1994 selepas kedudukan terikat seri tanpa jaringan ketika perlawanan akhir menentang Itali di Los Angeles, dengan kemenangan ditentukan melalui sepakan penalti yang menyaksikan sepakan Roberto Baggio tinggi melepasi palang.
Bagaimanapun pada kejohanan Piala Dunia berikut, anak kelahiran Rio de Janeiro ini melalui pengalaman paling mengecewakan dalam kerjaya sebagai jurulatih selama 43 tahun apabila disingkirkan daripada jawatan oleh Arab Saudi yang berang ekoran kekalahan dengan jaringan empat gol kepada tuan rumah Perancis.
Pembabitannya untuk kali kedua sebagai jurulatih Brazil tidak sebaik kali pertama, apabila pasukan pilihan Piala Dunia 2006 itu tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tumpas kepada Perancis yang muncul pemenang tempat kedua.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!