Mexico miliki kelebihan ke atas Afrika

June 11, 2010 by  

MEXICO memiliki kelebihan berbanding Afrika Selatan apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada aksi pembukaan Piala Dunia 2010 di Stadium Soccer City malam ini.

Kelebihan itu sangat jelas kerana Mexico merupakan pasukan yang menduduki ranking ke-17 dunia.

Selain itu, sejarah mereka dalam Piala Dunia juga cemerlang dan telah beraksi pada pusingan akhir sebanyak 13 kali.

Kali terakhir mereka gagal layak ialah pada tahun 1978. Namun, pengalaman yang ada dilihat sudah cukup kuat untuk memusnahkan impian tuan rumah pada aksi pembukaan ini.

Menjelang pusingan akhir di Afrika Selatan, Mexico turut mencatat keputusan cemerlang dalam beberapa aksi pemanas badan dengan hanya mencatat dua kekalahan.

Dalam 12 perlawanan tahun ini, mereka hanya tewas kepada England dan Belanda.

Minggu lepas, mereka menewaskan juara dunia Itali 2-1 pada aksi pemanas badan terakhir menjelang pertemuan dengan Afrika Selatan malam nanti.

Jika kelebihan ini diambil kira, Afrika Selatan sudah pasti memerlukan keajaiban untuk menewewaskan Mexico.

Walaupun Afrika Selatan kini menduduki ranking ke-63 dunia, kelebihan mereka hanyalah sebagai tuan rumah yang bakal mendapat sokongan padu daripada 90,000 penyokong setia mereka.

Penjaga gol Afrika Selatan, Itumuleng Khune menyedari kelebihan yang ada itu dan dia yakin penyokong mereka akan membantu melonjakkan semangat sepanjang perlawanan tersebut dengan meniup trompet dipanggil ‘vuvuzela’.

“Penyokong kami sangat istimewa dan mereka akan memainkan peranan penting untuk menaikkan semangat kami.

“Kami tidak mahu perlawanan ini berkesudahan seri. Kami mahu menang dan mengutip tiga mata penuh. Perlawanan pembukaan ini perlu dicapai dengan keputusan yang bergaya.

“Kami juga tahu betapa pentingnya kemenangan walaupun Mexico tidak akan memberi laluan mudah kepada kami.”

Sebelum bermulanya aksi pembukaan ini, Afrika Selatan turut menampilkan keputusan cemerlang dalam beberapa aksi persahabatan yang diharungi.

Mereka turun beraksi dalam 12 perlawanan dan menang kesemuanya.

Lawan yang dihadapi itu bukan terdiri daripada pasukan elit tetapi kemenangan ke atas Colombia dan Denmark dilihat memberi keyakinan kepada skuad yang mendapat jolokan Bafana Bafana itu.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!