Kemenangan besar belum jamin Afrika Selatan
June 22, 2010 by admin
KEMENANGAN besar ke atas Perancis yang dilanda skandal hari ini mungkin tidak mencukupi bagi Afrika Selatan untuk memenuhi jangkaan peminat mereka.
Bagaimanapun, ia satu-satunya cara mengelak daripada mencipta sejarah yang tidak diingini.
Kemenangan dengan jumlah gol yang besar boleh menyelamatkan Afrika Selatan daripada menjadi negara tuan rumah Piala Dunia pertama gagal ke pusingan kedua - dengan syarat Mexico dan Uruguay tidak mencatat keputusan seri.
Permulaan yang baik bagi Afrika Selatan apabila mereka seri 1-1 dengan Mexico nampaknya tidak bertahan lama dan kekalahan 3-0 di tangan Uruguay selepas itu mendedahkan keterbatasan pasukan bergelar Bafana Bafana itu.
Namun, Afrika Selatan, yang di atas kertas dianggap sebagai antara pasukan paling lemah di Piala Dunia ini, boleh mengharapkan bunyi daripada tiupan vuvuzela akan membakar semangat pemain mereka di Stadium Free State.
Lawan mereka ialah Perancis, yang turut mempunyai satu mata daripada dua perlawanan, memiliki antara pemain individu yang handal tetapi gagal sebagai satu pasukan selain semangat yang merosot ekoran daripada masalah dalaman yang berkisar pada Nicolas Anelka.
“Perancis akan turun dengan harapan untuk menang. Ia menaruh harapan, seperti kami, agar dapat terus mara tetapi kami telah memutuskan tidak mahu memikirkan mengenai mereka. Kami akan turun dan bermain bola dan mencatat kemenangan untuk negara dan peminat kami,” kata pemain bek Afrika Selatan, Tsepo Masilela.
Anelka tidak akan berada dalam skuad Perancis selepas diarah pulang pada Sabtu lalu kerana melemparkan kata-kata kesat kepada jurulatih Raymond Domenech pada waktu rehat dalam perlawanan yang menyaksikan mereka kalah 2-0 kepada Mexico.
Para pemain Perancis, yang menjadi sasaran bidasan peminat dan media sejak tersingkir daripada Euro 2008, perlu berusaha gigih untuk menebus nama mereka.
Mereka tidak percaya kepada dunia luar semasa di luar padang dan bermain tanpa tujuan dalam padang. Mereka tidak memenangi kawan baru dengan memulaukan sesi latihan sebagai memberi sokongan kepada Anelka kelmarin.
Dalam pada itu, jurulatih Brazil Afrika Selatan, Carlos Alberto Parreira, mempunyai kebimbangannya sendiri dengan penjaga gawangnya, Itumeleng Khune, digantung selepas dibuang padang dalam perlawanan menentang Uruguay.
Kecuali di bahagian tengah, yang turut menyaksikan Afrika Selatan akan kehilangan Kagisho Dikgacoi, juga digantung, Parreira tidak dijangka menukar pasukan.
Domenech, sebaliknya, boleh menukar pasukannya, dengan Thierry Henry mengisi kekosongan ekoran daripada ketiadaan Anelka di barisan serangan, menggantikan Sidney Govou dengan Franck Ribery di sebelah kanan, sementara Yoann Gourcuff bertindak selaku perancang.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!