Afrika Selatan makin meningkat

June 10, 2010 by  

PENINGKATAN dramatik prestasi Afrika Selatan sejak enam bulan lalu, keyakinan yang baru diperoleh pasukan Mexico dan prestasi turun naik Perancis akan membuatkan saingan Kumpulan A paling sengit menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia Jumaat ini.

Uruguay, dengan prestasi tidak konsisten dan sukar dijangka melengkapkan kuartet dalam Kumpulan A, apabila pasukan tuan rumah menentang Mexico di Soccer City Jumaat ini, kini menjadi perhatian seluruh peminat bola sepak seluruh dunia.

Afrika Selatan mempamerkan peningkatan mendadak sejak jurulatih dari Brazil, Carlos Alberto Parreira kembali melatih mereka pada November tahun lalu.

Minggu lalu mereka menewaskan Denmark 1-0 pada perlawanan pemanas badan terakhir, memanjangkan lagi rentetan rekod menang tanpa kalah kepada 12 perlawanan dan kini spekulasi sebelum ini mengatakan Bafana Bafana bakal menjadi tuan rumah akan tersingkir di pusingan pertama semakin kabur.

Parreira berkata pasukannya kini tidak takut pada mana-mana pasukan. “Setiap pasukan menghormati kami. Saya percaya pasukan ini membuktikan mereka bersedia ke Piala Dunia. Kami akan ke kejohanan dengan keyakinan dan kini kami boleh mula memasang angan-angan dengan meletakkan sasaran untuk mencapai sesuatu,” katanya.

Tetapi mereka akan berdepan ujian getir menentang Mexico yang turut mempamerkan persembahan mantap dalam persiapan terakhir.

Biarpun tewas 3-1 kepada England di Stadium Wembley bulan lalu, pemain mereka begitu hebat ketika menewaskan juara bertahan Itali 2-1 di Brussel Khamis lalu.

Jurulatih Javier Aguirre dengan nada yakin beberapa minggu lalu berkata: “Inilah pasukan terbaik Mexico yang pernah ada di Piala Dunia.” Kemenangan ke atas Afrika Selatan pada perlawanan pembukaan akan memberi satu lagi keyakinan untuk Mexico menempuh perlawanan kedua menentang Perancis di Polokwane pada 17 Jun.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!