Jaringan Gol Piala Dunia 2010 merosot

June 19, 2010 by  

SATU perkara yang amat ketara selepas semua 32 pasukan menamatkan perlawanan pertama masing-masing ialah penurunan jumlah jaringan gol berbanding dengan saingan Piala Dunia 2006 yang berlangsung di Jerman. [LIHAT SENARAI LENGKAP PENJARING GOL PIALA DUNIA 2010]

Selepas 16 perlawanan berlangsung hanya 25 gol sahaja direkodkan berbanding 39 gol dihasilkan pada Piala Dunia di Jerman.

Tanda kemerosotan jaringan gol sudah kelihatan pada hari pertama kejohanan apabila dua perlawanan awal hanya mampu mencipta dua gol sahaja iaitu aksi Mexico menentang pasukan tuan rumah, Afrika Selatan yang berakhir dengan seri 1-1 manakala perlawanan kedua antara Perancis dan Uruguay berkesudahan seri tanpa jaringan.

Sebagai perbandingan, sebanyak lapan gol berjaya dihasilkan dalam dua perlawanan awal pada kejohanan di Jerman lalu di mana perlawanan pembukaan antara Jerman dan Costa Rica berkesudahan dengan keputusan 4-2 memihak tuan rumah.

Begitu pun ada pihak berpendapat, saingan bagi perlawanan kedua akan lebih rancak dengan lebih banyak gol dan jaringan menarik dapat disaksikan.

Di sebalik kesuraman jaringan gol yang dapat disaksikan, saingan kali ini tidak kurang hebatnya apabila sudah terdapat pemain yang berjaya mencatat jaringan hatrik iaitu penyerang Argentina, Gonzalo Higuain dalam aksi menentang Korea Selatan sekaligus muncul penjaring gol terbanyak setakat ini.

Manakala penyerang Uruguay, Diego Forlan menjaringkan dua ketika beraksi menentang pasukan tuan rumah, Afrika Selatan iaitu pemain pertama menjaringkan lebih daripada satu gol dalam satu perlawanan.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!